UMNO, Pas mampu bentuk kerajaan stabil, berwibawa

Tajuddin (depan, enam dari kanan) bersama kepimpinan bahagian bergambar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sabak Bernam di Dewan UMNO Bahagian Sabak Bernam di sini.
Tajuddin (depan, enam dari kanan) bersama kepimpinan bahagian bergambar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sabak Bernam di Dewan UMNO Bahagian Sabak Bernam di sini.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kerjasama antara UMNO dan Pas diyakini mampu menawan kembali hati rakyat pada PRU15 sekali gus membentuk sebuah kerajaan stabil dan berwibawa.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, sekiranya kerjasama itu berjaya, landskap politik tanah air bakal memperlihatkan pembentukan sebuah kerajaan Melayu Islam menerajui tampuk kepimpinan negara.

Bagaimanapun, katanya, gabungan UMNO dan Pas tidak sesekali meminggir dan mengetepikan mana-mana kaum di negara ini.

"Bangsa lain seperti Cina dan India mereka boleh bersama dengan kita tetapi kitalah menjadi pemimpin dalam kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Sabak Bernam di Dewan UMNO Bahagian Sabak Bernam, di sini hari ini.

Tajuddin berkata, mewujudkan kestabilan politik penting bagi meneruskan agenda perjuangan membela rakyat, bangsa dan agama serta memajukan negara.

"Keadaan sekarang ini terumbang-ambing kerana pembangunan dan pembelaan terhadap rakyat kurang diberi tumpuan disebabkan isu politik," katanya.

Justeru, katanya, beliau yakin dengan pengalaman yang ada dalam kepimpinan UMNO dan Pas dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh serta komited kepada perjuangan

Artikel Berkaitan:

"UMNO sebagai pemerintah selama 60 tahun ada kebolehan, keupayaan, kebijaksanaan ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk mentadbir negara.

"Begitu juga dengan Pas, walaupun selama hari ini sebagai pembangkang mereka mempunyai perjuangan kental membela bangsa dan agama.

"Dari segi pengalaman mentadbir pula, Pas berpengalaman memerintah di peringkat negeri seperti Kelantan selain pernah menerajui Terengganu dan Kedah," katanya.

Katanya, keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan PH kerana mereka tidak berpengalaman mentadbir negara.

"Mereka hanya mengharapkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau seorang sajalah kerana pemimpin lain tak ada pengalaman.

"Itu sebabnya negara hari ini kucar-kacir kerana setiap dasar yang dibuat semuanya tak praktikal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!