Jakel tidak pernah terlibat skim pengubahan wang haram

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn Bhd menegaskan syarikat itu menjalankan urusniaga yang tulen dan tidak pernah terlibat dengan skim pengubahan wang haram.

Jakel dalam kenyataan medianya selepas disenaraikan antara 41 penama yang menerima dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melalui akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, urusniaga terbabit adalah berdasarkan pesanan yang diterima untuk membekalkan kain jubah bagi semua program amal yang dianjurkan oleh Najib dan Pejabat Perdana Menteri (sewaktu Najib sebagai Perdana Menteri).

Kata Jakel, pembelian itu adalah untuk imam, tahfiz dan semua masjid-masjid di seluruh Malaysia yang berjumlah lebih 7,000 buah serta bekalan kain untuk mangsa-mangsa banjir antara tahun 2011 dan 2014.

“Pihak Jakel hanya menerima pembayaran setelah kami menyempurnakan penghantaran barangan yang dipesan.

“Segala pembayaran untuk barangan yang dijual dan dihantar, kami terima dengan tanpa prasangka dan kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mempersoalkan sumber dana tersebut kecuali sekiranya terdapat bukti yang jelas bahawa dana tersebut adalah diperolehi secara tidak sah. Sebarang isu pengubahan wang haram adalah benar-benar tiada dalam pengetahuan pihak kami,” kata Jakel melalui kenyataan hari ini.

Tegas Jakel, segala urusniaga yang dijalankan oleh mereka disokong dengan bukti dokumen yang sahih.

“Jakel ingin menyatakan dengan jelas bahawa semua urusniaga yang berkaitan adalah dilakukan dengan urusniaga yang tulen, dan disokong oleh bukti dokumen yang sahih.

“Jakel tidak pernah terlibat dalam skim pengubahan wang haram dan tidak akan terbabit dalam apa jua kegiatan seperti itu pada masa akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Jakel, mereka komited untuk terus menjalankan perniagaannya dengan tatacara yang bertanggungjawab dan menyedari tidak akan memperoleh sebarang kebaikan daripada amalan perniagaan yang tidak sah serta tidak beretika.

“Jakel memandang sebarang tuduhan yang mengaitkan kami dengan aktiviti pengubahan wang haram adalah tuduhan yang sangat serius. Perniagaan teras Jakel adalah produk tekstil dan barangan tekstil yang berkaitan dengan perdagangan runcit dan borong.

“Kami menjalankan aktiviti jual beli kami dengan tiada prasangka, di mana semua pelanggan dilayan secara professional dan baik. Segala transaksi jual beli terbabit adalah dengan berdasarkan invois dan semua pembayaran diterima dengan tiada syak wasangka,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM dedah 41 penama penerima wang 1MDB

Jakel Trading dan Jakel Trading Sdn Bhd adalah antara dua penama yang disenaraikan oleh SPRM.

Jakel juga menegaskan, semua dokumen sah berkaitan dengan urusniaga terbabit telah diserahkan kepada pihak SPRM dan Jakel komited untuk terus bekerjasama membantu suruhanjaya itu seperti yang telah dilakukan sepanjang siasatan dijalankan sehingga hari ini.

“Pendirian kami sangat jelas, iaitu untuk memberi sepenuh komitmen dan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak SPRM bagi membersihkan nama baik Jakel. Hanya kepada ALLAH kita berserah,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!