Laporan JKD dibentang kepada PM minggu depan: Maszlee

Dr Maszlee dan isterinya, Dr Hamidah Mat bersama golongan anak-anak yatim dari Rumah Amal Cahaya Kasih Bestari, Subang pada majlis Silaturahim Aidilfitri di kediamannya hari ini. -Foto Bernama
Dr Maszlee dan isterinya, Dr Hamidah Mat bersama golongan anak-anak yatim dari Rumah Amal Cahaya Kasih Bestari, Subang pada majlis Silaturahim Aidilfitri di kediamannya hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Laporan penuh Jawatankuasa Kajian Dasar Pendidikan Negara (JKD) yang siap hujung April lepas akan dibentangkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad minggu depan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata beliau sendiri akan membentangkan laporan itu bagi mendapat pandangan Perdana Menteri sebelum perincian lanjut dilakukan melalui pendekatan tertentu selepas itu.

"Jawatankuasa mengkaji keseluruhan sistem pendidikan negara yang diwujudkan melalui cadangan mesyuarat jemaah menteri telah menyerahkan laporan lengkap itu kepada saya awal bulan lepas.

"Selepas dibentangkan kepada Perdana Menteri, kita akan adakan beberapa siri makmal dan bengkel bagi memperhalusi laporan tersebut sebelum dibentangkan semula kepada kabinet pada masa yang akan ditentukan kemudian," katanya kepada pemberita pada majlis Silaturahim Aidilfitri Menteri Pendidikan di sini hari ini.

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching, warga kementerian serta jemputan khas.

Dipengerusikan oleh Prof Emiratus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid, JKD yang ditubuhkan pada Oktober tahun lepas telah mengadakan siri pertemuan melibatkan 3,141 pihak berkepentingan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan sebelum mengemukakan laporan lengkap cadangan menambah baik sistem pendidikan negara kepada kementerian pendidikan.

Maszlee berkata kajian semula dasar pendidikan negara itu termasuk menambah baik kurikulum dan sistem pendidikan dari peringkat prasekolah sehingga universiti.

Beliau berkata antara lain, laporan yang menyentuh mengenai usaha memperlengkapkan pelajar berdepan masa depan yang mencabar, mengarusperdanakan TVET serta menempuh alam pekerjaan dalam Revolusi Industri 4.0. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!