Tiga lagi makmal saringan darah dibangunkan KKM

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min (kanan) beramah mesra dengan para penderma darah pada sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara hari ini. - FOTO BERNAMA
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min (kanan) beramah mesra dengan para penderma darah pada sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan 2019 di Pusat Darah Negara hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga lagi makmal saringan darah ujian nukleik asid (NAT), akan dibangunkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelang hujung tahun ini, menjadikan keseluruhannya empat di seluruh negara termasuk yang sedia ada di Pusat Darah Negara (PDN).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pertambahan tiga lagi makmal NAT itu selari dengan usaha kerajaan dalam meningkatkan tahap kualiti dan keselamatan darah yang dibekalkan kepada pesakit.

Menerusi ujian NAT katanya, dapat membantu mengesan jangkitan HIV, HBV (Hepatitis B) dan HCV (Hepatitis C) di peringkat awal melalui pengesanan kehadiran DNA/RNA virus seterusnya memberhentikan penyebaran virus-virus tersebut melalui transfusi darah.

"Tiga makmal NAT itu akan dibangunkan di Hospital Alor Setar (Utara Semenanjung), di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan darah penderma berjaya disaring mengunakan kaedah NAT sekali gus meningkatkan lagi tahap keselamatan dan kualiti darah yang dibekalkan ke seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penghargaan dan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat Kebangsaan di Pusat Darah Negara di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dan Pengarah PDN, Dr Noryati Abu Amin. Sementara itu, Dzulkefly berkata dalam memastikan proses pendermaan, pemprosesan darah dan penggunaan darah di hospital adalah selamat, PDN telah membangunkan sistem yang dikenali sebagai ‘Blood Bank Information System Version 2’ (BBISV2).

"Dengan adanya sistem BBISV2 ini, penggunaan maklumat, teknologi dan komunikasi (ICT) dalam perkhidmatan transfusi akan dipertingkatkan dan memastikan kualiti perkhidmatan transfusi peringkat KKM terjamin secara keseluruhan,” katanya.

Enam hospital yang telah melaksanakan sistem itu ialah Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang, Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu, Terengganu, Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, dan Hospital Batu Pahang, Johor. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!