'Kami masih tunggu jenazah Mama...'

Allahyarham Siti Fatimah ketika berada di Australia.
Allahyarham Siti Fatimah ketika berada di Australia.
A
A
A

KUALA BESUT - Waris kepada Allahyarham Siti Fatimah Mohamad Nor, 65, rakyat Malaysia yang meninggal di Melbourne, Australia 12 hari lalu masih menunggu kepulangan jenazah wanita tersebut ke tanah air.

Anak perempuan Allahyarham Siti Fatimah, Siti Zubaidah Abd Ghani, 31, berkata, ibunya yang meninggal dunia pada 11 Jun lepas sebelum ini dijangka tiba di tanah air pada Rabu lepas dari Sydney.

Menurutnya, bagaimanapun disebabkan sedikit masalah teknikal menyebabkan jenazah ibunya tidak dapat dihantar pulang ke tanah air pada 19 Jun itu.

“Kami reda tetapi berharap urusan membawa pulang Mama akan berjalan lancar dan minggu ini jenazah ibu dapat dihantar ke Malaysia.

“Jika diikutkan memang keluarga agak bersedih dengan kelewatan membawa pulang jenazah tersebut memandangkan ibu sudah meninggal dunia sejak 12 hari lalu,” katanya ketika ditemui di rumah arwah ibunya di Kampung Lay Out Tok Saboh, di sini, petang ini.

Siti Zubaidah berkata, sebelum ini keluarganya berdepan masalah menampung kos sebanyak kira-kira RM31,000 untuk membawa jenazah ibunya.

Menurutnya, namun masalah itu selesai selepas pelbagai pihak termasuk Kerajaan Negeri Terengganu tampil menghulurkan sumbangan sebaik tular di media sosial mengenai rayuan keluarganya yang memohon dana itu.

“Urusan untuk membawa pulang arwah Mama di sana (Australia) dikendalikan oleh sebuah pertubuhan sukarela dikenali Amal Team.

Artikel Berkaitan:

“Kami mengucapkan penghargaan terima kasih kepada pasukan tersebut yang berusaha keras untuk menguruskan dan memastikan jenazah Mama dapat dibawa pulang secepat mungkin,” katanya yang pulang ke Malaysia Isnin lepas bersama suami dan anak serta dua adik-beradiknya yang lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!