Hadiah menarik menanti pembayar cukai taksiran
BUKIT MERTAJAM - Bersempena penaiktarafan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengadakan promosi cukai taksiran penggal kedua bagi tahun ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Sr Rozali Mohamud berkata, promosi pembayaran cukai ini akan bermula pada 1 Julai dan akan berakhir pada 31 Ogos nanti.
Menurutnya, MPSP mula mengeluarkan bil cukai taksiran secara berperingkat bermula 28 Jun dan ia melibatkan sebanyak 190,751 pembayar dan dianggarkan akan mengutip jumlah cukai sebanyak RM143 juta.
Katanya, lebih menarik kali ini, setiap pembayar cukai berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah termasuk wang tunai sebanyak RM1,000 bagi mereka yang membayar menggunakan sistem atas talian atau online serta melalui ejen kutipan.
"Bagi promosi ini, sebanyak 15 hadiah cabutan bertuah disediakan untuk kategori A iaitu membayar menggunakan sistem atas talian atau online serta melalui ejen kutipan dan 20 hadiah untuk kategori B iaitu mereka yang membuat pembayaran di kaunter MPSP.
"Untuk kategori A, lima hadiah utama adalah wang tunai sebanyak RM1,000 manakala hadiah untuk tempat ke enam sehingga 15 berpeluang untuk mendapat peralatan telekomunikasi, perkakasan rumah dan barangan elektrik," katanya pada sidang media di sini.
Rozali berkata, bagi kategori B pula, lima hadiah utama yang ditawarkan adalah wang tunai berjumlah RM200.
Katanya, bagi promosi kali ini, MPSP juga akan menyediakan 10,000 buku kupon letak kereta bernilai RM2 sebagai cenderamata kepada 10,000 pemilik premis yang membuat pembayaran awal.
Tambahnya, penduduk di Seberang Perai diseru untuk tidak melepaskan peluang dan promosi ini bagi melayakkan mereka mendapat cenderahati seterusnya berpeluang untuk terpilih dalam hadiah cabutan bertuah.
"MPSP sentiasa berusaha meningkatkan kualiti dalam menyampaikan perkhidmatan kepada penduduk Seberang Perai dan kita bergerak maju selari dengan visi menjadikan bandar ini sebagai 'resilent', inklusif, hijau, kompetitif dan bandar pintar dipacu teknologi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!