Nilai bitcoin cecah RM44,807
LONDON - Nilai mata wang kripto, bitcoin telah melonjak lebih AS$10,000 (RM41,370) buat pertama kali sejak Mac 2018.
Bitcoin dilaporkan memperoleh keuntungan lebih 10 peratus sejak 24 jam lalu.
Menurut indeks harga CoinMarketCap dengan mengambil modal pasaran keseluruhan hampir AS$200 bilion (RM827 bilion), lonjakan harga tersebut menyaksikan mata wang maya terbesar di dunia itu mencecah sehingga AS$10,831 (RM44,807).
Difahamkan, nilai itu dicapai selepas lebih setahun penurunan berterusan apabila nilainya mencecah hampir AS$20,000 (RM82,740) pada akhir 2017.
"Ini sangat luar biasa," kata salah seorang peminat wang kripto di Twitter. Nilai bitcoin amat sukar diramalkan walaupun segelintir pakar berpendapat ia dapat melangkaui nilai pada 2017 menjelang beberapa bulan akan datang.
Nilai mata wang maya utama lain seperti ethereum, ripple dan litecoin yang mendapat rangsangan daripada bitcoin turut memperoleh keuntungan antara 20-35 peratus berbanding bulan lalu.
Awal minggu lalu, Facebook mengumumkan rancangan untuk melancarkan versi bitcoin sendiri digelar Libra pada 2020. - The Independent
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!