Jemaah haji jadi duta harumkan negara
IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengingatkan bakal jemaah haji negara ini supaya berazam menjadi duta yang mengharumkan nama Malaysia.
Baginda bertitah, pada tahun lalu pihak berkuasa Arab Saudi melaporkan jemaah dari Malaysia telah meninggalkan tempat yang bersih selepas selesai urusan haji.
"Imej dan identiti positif yang telah tercipta pada tahun lalu jangan dicemarkan, malah wajib dipertingkatkan. Budaya mengamalkan kebersihan hendaklah dijadikan sebahagian daripada komponen latihan, diberikan penegasan dan bimbingan secara serius semasa jemaah mengikuti kursus di sini.
"Jemaah Malaysia hendaklah memiliki azam menjadi duta yang mengharumkan nama Malaysia dalam segala aspek semasa menunaikan ibadah haji.
"Ia merangkumi aspek ibadah, mematuhi undang-undang dan peraturan, amanah, berdisiplin, menepati waktu, sabar dan bertoleransi, sedia membantu serta mengutamakan kebersihan," titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Perak bagi musim haji 1440/2019 di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.
Berangkat sama, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Sementara itu, Sultan Nazrin turut merakam penghargaan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) atas perkhidmatan cemerlang yang telah dilaksanakan sebelum ini.
Baginda bertitah, walaupun TH ketika ini dilaporkan sedang menghadapi cabaran besar berkaitan tadbir urus kewangan, namun ia menjejaskan perkhidmatan menguruskan urusan haji dengan terus mengekalkan segala kemudahan yang diperlukan untuk keselesaan jemaah.
"Hargailah perkhidmatan yang disediakan oleh TH dan berikanlah kerjasama kepada kakitangan mereka bermula daripada sikap yang ditunjukkan semasa berkursus, semasa perjalanan udara dan darat, semasa berada di Mekah dan Madinah, sehingga perjalanan pulang selepas selesai menyempurnakan ibadah haji," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!