'SPRM perlu bukti kata itu duit 1MDB'

Najib merakamkan gambar kenangan bersama masyarakat pada Program Santai Lepaking Bersama Malu Apa Bossku di Teluk Cempedak di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian
Najib merakamkan gambar kenangan bersama masyarakat pada Program Santai Lepaking Bersama Malu Apa Bossku di Teluk Cempedak di sini, hari ini. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KUANTAN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberi bukti yang kukuh terhadap dakwaan dana RM270 juta yang diterima 41 responden datangnya daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau sebelum ini telah mempunyai bukti bahawa dana-dana yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya adalah sumbangan Kerajaan Arab Saudi.

"Kita sedang menyelesaikan kes (1MDB) ini melalui peruntukan undang-undang di mana kita melalui proses di mahkamah dan biar mahkamah menentukan jawapan terhadap kes ini

"Setakat ini prosiding menunjukkan kebanyakan dana yang disalurkan adalah dari Kementerian Kewangan Arab Saudi dan daripada Putera Raja Arab Saudi.

"Jadi mereka (SPRM) tidak boleh menganggap yang kesemua duit itu datangnya dari 1MDB. Mereka perlu ada bukti yang kukuh untuk kata yang duit itu duit daripada 1MDB," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Program Santai Lepaking Bersama Malu Apa Bossku di Teluk Cempedak, hari ini.

Sinar Harian semalam melaporkan SPRM telah membuat permohonan lucut harta terhadap 41 responden di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

ARTIKEL BERKAITAN: SPRM dedah 41 penama penerima wang 1MDB

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata, permohonan itu melibatkan nilai RM270 juta daripada dana 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberitahu, wang yang diterima responden itu datang daripada akaun Najib.

Dalam pada itu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, SPRM sepatutnya tidak boleh menyalahkan 41 responden yang terlibat dalam dana 1MDB kerana tidak mengetahui di mana datangnya punca dana duit tersebut.

"Mereka ini tidak boleh dipersalahkan sebab mereka tiada pengetahuan duit tersebut datangnya daripada mana...macam saya kalau saya terima duit pun saya tak tahu dari mana punca duit itu datang.

"Perkara ini bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dalam masa yang terdekat dan kerana itu ianya perlu diselesaikan oleh pihak mahkamah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!