Kerja padam kebakaran sampah haram selesai 98 peratus
SEPANG - Operasi memadam kebakaran sampah haram yang berlaku di kawasan Bandar Bukit Puchong bersebelahan Plaza Tol Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), di sini, sejak Rabu lalu, kini selesai 98 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya yang juga Komander Operasi, Mohamad Razi Abd Mutalib berkata, beliau menjangkakan operasi tersebut akan selesai sepenuhnya selewat-lewatnya hari ini.
Beliau berkata, hanya tinggal beberapa tempat di lokasi berkeluasan 113x76 meter itu yang perlu dikorek dengan eskavator dan disembur dengan air pada dasarnya serta keseluruhan sampah yang terbakar.
"Kita percaya dapat habiskan kesemua kerja-kerja ini hari ini...hanya tinggal beberapa tempat yang kita hendak padamkan sebelum memastikan keseluruhan kawasan sudah dipadam sepenuhnya.
"Kerja pemadaman mengambil masa kerana bomba perlu mengorek kawasan timbunan sampah yang sebahagian berkedalaman antara enam ke tujuh meter dan operasi pemadaman bagi satu-satu tempat dalam lingkungan kawasan ini mengambil masa antara setengah jam ke 40 minit," katanya yang turut mendapat bantuan dari BBP KLIA serta Skuad Pantas Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) untuk operasi pemadaman.
Katanya, selepas dua hari mengambil alih operasi memadamkan kebakaran sampah haram itu daripada BBP Puchong, keadaan di situ sudah terkawal dan asap yang menjejaskan penduduk sekitar serta pelajar di sebuah sekolah antarabangsa berdekatan juga sudah dikurangkan.
"Sebelum ini operasi pemadaman di sini dilakukan oleh anggota dan pegawai dari BBP Puchong tapi setelah semakan dibuat mendapati tanah di lokasi itu berada di bawah pentadbiran MPSepang, jadi kami mengambil alih pula tugas untuk operasi pemadaman tersebut," katanya.
Difahamkan kebakaran sampah tersebut melibatkan separuh perimeter (bahagian tepi) iaitu kira-kira 40 peratus dari keseluruhan kawasan.
Kerja-kerja pemadaman dijalankan dengan menggunakan dua eskavator, dua pam angkut dan satu pam jentera bomba.
Sementara itu, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), George Yap ketika dihubungi memberitahu, pada peringkat awal kebakaran tersebut berlaku, beliau dimaklumkan oleh Exco Selangor, Ng Sze Han yang menerima aduan daripada ibu bapa kepada pelajar-pelajar sebuah sekolah antarabangsa yang terletak kira-kira 700 meter dari lokasi.
Beliau berkata, jadi perkara itu dirujuk kepada MPSJ namun setelah disemak mendapati ia berada di bawah pentadbiran MPSepang kerana lokasi terletak di sempadan antara Subang Jaya dan Sepang.
"Walaupun bukan di bawah kawasan MPSJ tapi insiden itu menjejaskan penduduk serta pelajar di beberapa kawasan perumahan dan sekolah berdekatan yang berada dalam Subang Jaya.
"Jadi saya mengambil berat serta memandang serius perkara yang berlaku...Saya harap penduduk atau orang awam yang mempunyai maklumat atau mungkin melihat lori yang keluar masuk untuk melakukan akitiviti buang sampah haram dapat tampil menyalurkan maklumat agar tindakan lebih awal dapat diambil," katanya.
Sementara itu, MPSepang dalam satu kenyataan memberitahu, seramai lapan anggota dari Skuad Pantas MPSepang terlibat membantu operasi pemadaman yang dijalankan bomba.
MPSepang juga memaklumkan kawasan tersebut merupakan tanah persendirian, namun pihaknya akan membuat pemantauan lanjut di lokasi dari semasa ke semasa.
Antara agensi lain yang terlibat dalam operasi adalah Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor serta Jabatan Alam Sekitar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!