Lemang 'tong dram' lebih enak
SHAH ALAM - Jika bercerita tentang lemang, pasti ramai yang terbayang-bayang rasanya yang lemak serta aroma baunya yang begitu menyelerakan.
Tapi apabila memikirkan betapa leceh untuk membakar dan menghasilkan lemang yang betul-betul kena rasanya, pasti ramai yang tidak sanggup dan memilih untuk membeli sahaja.
Namun berbeza bagi seorang pesara, Husni Ismail, 61, yang berjaya menghasilkan lemang dengan cara tersendiri menggunakan kaedah masak dalam tong dram dan dimanfaatkan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk menjamu jiran serta jemaah masjid di kawasan perumahannya di Seksyen 19, di sini.
Husni yang juga terkenal dengan skil memasak kari kerisik kambing untuk tempahan majlis kahwin, tahlil serta aqiqah itu, mendapat idea tersebut dari adik iparnya dan kemudian diubahsuai menjadi dapur khas yang menggunakan besi tahan karat tapi masih mengekalkan ciri tong dram.
"Mula-mula saya pakai tong dram tapi saiznya kecil..jadi saya buat rekaan sendiri dengan ukuran yang saya mahu dan menempah alat khas diperbuat dengan besi tahan karat dengan saiz yang lebih besar sedikit supaya dapat dimuatkan lebih banyak lemang di dalamnya.
"Pada bahagian dalamnya saya buatkan besi seperti sarang labah-labah untuk dijadikan tempat meletakkan sebanyak 50 batang lemang untuk sekali masak," katanya yang menempah dapur tersebut dengan harga RM500 dan kini sudah digunakan hampir lima tahun.
Katanya yang juga Bendahari Surau Hamiddean di sini, dengan dapur khas itu, kaedah memasak lebih singkat hanya dua jam sahaja diperlukan dan tidak perlu menunggu lama seperti kaedah memasak lemang secara tradisional yang memakan masa antara empat ke tujuh jam.
"Sekali masak sudah dapat 50 batang....tapi saya masak lemang hanya untuk makan sendiri dan bukan untuk dijual. Kalau ada yang tempah untuk kenduri seperti tahlil, aqiqah atau nak jamu orang makan khususnya di Surau Hamiddean di sini, saya akan buat," katanya kepada Sinar Harian.
Husni berkata, dia bagaimanapun sangat mengalu-alukan golongan muda yang mungkin berminat untuk belajar kaedah memasak lemang menggunakan dapur khas ala tong dram yang dibuatnya.
"Saya memang tak larat kalau nak masak lemang untuk jual...tapi kalau anak-anak muda yang nak belajar kaedah macam ni, boleh datang tengok dan usahakan sendiri jika mereka nak jual," katanya.
Sementara itu, Roslan Hamzah, 51, yang merupakan jiran Husni memberitahu, beliau sendiri kagum dengan kreativiti dihasilkan Husni dalam memasak lemang dengan kaedah yang lebih moden.
"Saya dan jiran-jiran terutamanya kariah masjid memang tahu dia pandai memasak khususnya lemang tapi kami tak pernah tahu rahsia di sebalik penyediaan lemang tu.
"Akhir Ramadan lalu, bila dia tunjukkan saya cara memasak lemang yang dibuat selama ini, memang teruja...resepi lemang itu sama cuma kaedah memasak lebih cepat berbanding bakar, tak perlukan ruang yang banyak dan tekstur lemang itu sendiri lebih lembut, malah rasa tetap sama kerana diletakkan daun pisang," katanya.
Selain alat bakar lemang, Husni turut mereka dapur khas dengan 10 rak atau dipanggil dapur Apolo bagi memasak nasi dan dapur itu boleh memuatkan kira-kira 30 kilogram beras untuk sekali masak selama dua jam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!