'Adik-beradik ada Um’
IPOH - Setiap ibu bapa punya cara untuk menamakan anak-anak mereka, tidak kiralah ia unik atau jarang ditemui asalkan membawa maksud yang baik.
Begitu juga bagi keluarga besar Umar@Omar Ibrahim, 78, bersama dua isterinya, Siti Zaharah Daud, 68, dan Rokiah Ngah, 58.
Mereka punya cara tersendiri menamakan 10 anak, empat daripadanya wanita dengan gabungan nama masing-masing iaitu Umzarul.
Um yang mewakili Umar, Za membawa maksud Zaharah dan Rul iaitu Rokiah.
Nama itu menjadi identiti keluarga berkenaan daripada anak sulung, Mohd Umzarulisham yang kini berusia 48 tahun hinggalah anak bongsu, Umzarul Fatihah, 29.
Anak keempat keluarga berkenaan, Mohd Umzarulfaiz, 41, berkata, setiap daripada nama itu dipilih oleh bapanya sendiri yang mana anak lelaki pangkal nama dimulakan dengan Mohd Umzarul sementara anak perempuan Umzarul.
“Orang luar memang akan pelik kalau lihat senarai nama keluarga kami, semua sama hanya nama belakang yang berlainan.
“Bagi saya, inilah identiti yang dicipta ayah untuk menunjukkan betapa pentingnya hubungan kekeluargaan. Pergilah ke mana pun dan dengan hanya melihat nama, orang tahu kami adik-beradik,” katanya.
Tujuh lagi ahli keluarga ini ialah Umzanurain; Mohd Umzarulazijo; Mohd Umzarulamri; Mohd Umzarulhaq; Umzarul-An-Nur; Umzarul Nadiah; Mohd Umzarulfadlamminallah; Umzarul Fatihah.
Gara-gara menang PRU
Beliau berkata, kebanyakan nama itu diberi berdasarkan peristiwa-peristiwa yang berlaku ketika kelahiran mereka.
Seperti namanya ‘Faiz’ diambil sempena kemenangan pertama ayahnya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 1978 di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan.
“Ayah pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di situ selama dua penggal dan nak dijadikan cerita, saya lahir selepas seminggu keputusan PRU diumumkan, sebab itu ayah namakan saya Faiz yang membawa maksud kemenangan,” katanya.
Menurutnya, nama adiknya Mohd Umzarulfadlamminallah lebih istimewa kerana kebetulan lahir pada ketika bacaan bilal sebaik selesai solat tarawih dan witir di surau kampung.
“Ayah merupakan graduan seni dari Universiti Malaya, mungkin itu satu daripada kelebihan beliau untuk cipta nama kami semua.
“Pernah saya buat carian Umzarul di media sosial seperti Facebook dan Instagram, semua yang terpapar adalah adik-beradik saya sendiri,” katanya. Nama panggilanMohd Umzarulfaiz yang bertugas sebagai jurukamera di stesen TV Al Hijrah di Perak berkata, sejak di bangku sekolah lagi, semua kenalan termasuk guru sukar untuk menyebut nama penuhnya.
“Paling ketara pada sesi senarai kehadiran ke sekolah, kalau cikgu dah berkerut dahi dan dok ulang sebut Um...Um tu, saya tahulah nama saya lah tu, tak payah tunggu sebut habis saya akan terus angkat tangan,” katanya.
Itu antara faktor, beliau memiliki senarai nama panggilan antaranya, Zaro, Um, Om, Zorro dan Taro.
Pernah anaknya, Nur Ain Shauqina, 12, merungut kerana namanya yang panjang dan susah dieja.
“Dari awal saya dan isteri, Hamimah Hamid, 42, sudah boleh agak perkara ini, sebab itu kami pastikan sebelum usianya capai lima tahun, dia mesti sudah pandai eja nama ayahnya untuk memudahkan tulis dekat buku sekolah,” katanya. Beliau menganggap, kurniaan nama mereka 10 beradik sebagai anugerah.
“Sampai sekarang ada juga rakan yang rimas tak boleh nak sebut nama saya, tetapi saya tak ambil hati pun sebaliknya berbangga dengan nama yang diberikan.
“Anggap ini satu anugerah, sekurang-kurangnya dengan nama sebegitu kita rasa istimewa berbanding orang lain,” katanya.
PROFIL DIRI
Nama: Mohd Umzarulfaiz
Umur: 41 Profesion: Jurukamera
Isteri: Hamimah Hamid Anak: Nur Ain Shauqina
Adik-beradik:
- Mohd Umzarulisham
- Umzanurain
- Mohd Umzarulazijo
- Mohd Umzarulamri
- Mohd Umzarulhaq
- Umzarul-An-Nur
- Umzarul Nadiah
- Mohd Umzarulfadlamminallah
- Umzarul Fatihah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!