Merokok tanpa segan silu
RATA-rata mereka yang bukan perokok bersetuju bahawa larangan merokok di premis makanan dan restoran sepatutnya dikuatkuasakan tanpa penangguhan. Apa yang berlaku sekarang ini, perokok tanpa segan silu terus merokok dengan lagaknya di meja makan walaupun dijeling orang lain.
Beberapa kedai mamak membenarkan merokok di dalam premis kerana menurut mereka belum lagi dikuatkuasakan dan mereka tidak boleh melarang jika pelanggan ingin merokok. Walaupun tertera poster larangan merokok di premis berkenaan.
Penulis sendiri baru-baru ini pernah menegur perokok yang dengan sengaja merokok di restoran dan dijawab bahawa penguatkuasaan akan bermula pada awal tahun hadapan. “Apa masalah?” soal perokok berkenaan dengan nada ego dan kerasnya. Bagi penghisap vape dan seumpamanya pula mengatakan larangan kerajaan untuk rokok sahaja!
Bermula 1 Januari lalu, Kementerian Kesihatan memperkenalkan larangan berkenaan yang sekiranya didapati bersalah, akan didenda RM10,000 atau penjara tiga tahun, yang boleh dikenakan terhadap pelanggan dan pemilik premis makanan.
Bagaimanapun, Kementeria Kesihatan memberi tempoh percubaan selama enam bulan dan seterusnya dilanjutkan sehingga hujung tahun.
Sepatutnya kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan tidak perlu memberikan tempoh percubaan kerana pemerhatian menunjukkan perokok mula peka dan tidak lagi merokok di dalam premis dan mengikut arahan.
Walaupun ada beberapa insiden yang menunjukkan perokok merokok di dalam premis, tetapi ditegur oleh pelayan restoran dan mereka akur dengan arahan berkenaan. Malahan penangguhan itu lebih kepada persoalan bayaran denda. Namun sebahagian besar masyarakat dan pengusaha restoran bingung dan tidak memahami keadaan sebenar penangguhan berkenaan.
Namun penangguhan itu sebenarnya mengundang rasa kurang hormat orang ramai terhadap dasar yang tidak konsisten terhadap proses pendidikan kempen kesihatan. Kempen sebelum dilancarkan perlulah diperhalusi agar pelaksanaannya berjalan lancar.
Terkini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan bahawa talian perkhidmatan bagi menerima aduan berhubung larangan merokok di premis makanan sudah disekat oleh WhatsApp.
Sekatan berkenaan berlaku selepas terdapat aduan daripada orang ramai yang mendakwa talian perkhidmatan itu melanggar terma dan syarat WhatsApp.
Antara polisi peribadi WhatsApp yang dinyatakan di laman web rasminya ialah: "Anda tidak boleh menggunakan (atau membantu pihak lain menggunakan) perkhidmatan kami untuk: (a) melanggar, menyalahgunakan, atau menceroboh hak WhatsApp, pengguna kami, atau pihak lain, termasuk peribadi, umum, harta intelek, atau hak lain.
Tindakan menggunakan WhatsApp dibuka untuk membantu orang awam membuat laporan berhubung pelanggaran larangan merokok di premis makanan dengan menghantar gambar dan lokasi kesalahan dilakukan.
Talian berkenaan juga bertujuan memudahkan orang awam menerima maklumat, bertanya soalan atau mendapatkan nasihat tentang larangan merokok di premis makanan.
Kempen
Namun beberapa usaha secara bersistematik perlu dilakukan bagai melaksanakan kempen pendidikan kesihatan larangan merokok di premis makanan dan restoran. Setakat ini kurangnya iklan atau apa jua bentuk kempen sama ada berupa mesej, poster, video di televisyen, radio dan akhbar.
Mungkin penulis terlepas pandang. Namun sepatutnya dalam tempoh percubaan inilah masa yang paling sesuai untuk kempen larangan merokok di premis makanan ini disiar sebelum penguatkuasaan pada 1 Januari tahun hadapan.
Yang menghairankan, kenapa perokok mematuhi peraturan jika berkunjung ke negara jiran Singapura? Ini kerana polisi negara berkenaan cukup tegas dan saman akan terus dikenakan kepada pesalah yang merokok di premis dan tempat awam. Malah membuang batang mancis atau habuk rokok secara bersepah pun akan dikenakan tindakan.
Larangan sepatutnya bukan sahaja sekadar kempen, tetapi juga pelaksanaan dan penguatkuasaan secara tegas tanpa toleransi.
Penangguhan penguatkuasaan ini menyebabkan beberapa restoran meletakkan kembali bekas atau tempat buangan puntung dan habuk rokok di meja makanan. Pihak pengusaha dan pekerja restoran juga tidak menghiraukan lagi pelanggan merokok di restoran mereka.
Namun persoalan timbul, jika benar pihak kerajaan dengan tegas ingin menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan, kenapa restoran dibenarkan menjual rokok di premis mereka? Fikir-fikirkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!