Pegawai Khas MB Selangor buat laporan polis
BUKIT SENTOSA - Pegawai Khas kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad membuat laporan polis pagi semalam berhubung tuduhan jenayah mengaitkan dirinya dengan akaun Twitter PecatFaekah.
Saifuddin berkata, tuduhan tersebut tidak berasas dan berniat jahat apabila nama serta gambarnya didedahkan kepada umum tanpa bukti kukuh.
Menurutnya, tindakan itu menjejaskan namanya selaku seorang pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor yang sering berurusan dengan agensi kerajaan dan orang awam.
“Lelaki bernama Na’im Bin Brundage itu menuduh saya dalam laporan polis bahawa saya adalah pengendali kepada sebuah akaun media sosial PecatFaekah.
“Saya tidak ada kena-mengena dalam perkara tersebut dan tidak mengenali serta bertemu secara langsung dengan individu itu,” katanya semalam.
Menurutnya, tuduhan itu turut menjejaskan reputasinya selaku aktivis yang terlibat dengan program kemasyarakatan. Menurutnya, tindakan tersebut dikhuatiri akan menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap diri dan organisasi yang diwakilinya.
“Saya minta polis menyiasat motif individu itu menyebut nama serta menyebarkan gambar saya secara terang-terangan. “Ini jelas bertentangan dengan hak asasi saya sebagai warganegara selain mengelak fitnah serta laporan palsu berterusan terhadap saya,” katanya.
Sementara itu kelmarin, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan, Na’im Brundage memuat naik kenyataan di Facebook berhubung laporan polis yang dibuat mengenai perkara tersebut.
Menurut Na’im, akaun itu menyebarkan perkataan berunsur fitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarga sejak 12 Jun lalu selepas video lucah mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali tular di media sosial.
Na’im turut menyenaraikan lima nama termasuk Sahifuddin Shafi yang juga Ketua AMK Hulu Selangor dengan dakwaan selaku pengendali akaun Twitter itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!