PNB jangka pertumbuhan dana 2019 sederhana, berjajaran kecil

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz - Foto Bernama
Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjangkakan pertumbuhan dana 2019 di bawah pengurusannya akan sederhana dan berada dalam jajaran kecil, tidak banyak berubah berbanding 2018.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata berikutan persekitaran ekonomi yang mencabar, termasuk ketegangan perdagangan, perubahan dalam dasar-dasar ekonomi makro dalam ekonomi utama dunia dan lain-lain perkembangan geopolitik, PNB akan melaksanakan satu kepelbagaian strategi menggunakan strategi pengurusan risiko yang lebih mantap bagi memastikan ia tidak akan terperangkap dalam risiko-risiko yang akan menjejaskan pulangan.

"Kami akan memantau aktiviti pelaburan dalam semua portfolio dan melihat ke dalam setiap satu pelaburan yang dibuat, risiko industri, rekod dan sebagainya, sebaik sahaja aktiviti pelaburan dimulakan.

"PNB juga memegang peratusan tunai yang terlalu tinggi serta terdapat banyak instrumen yang kami ada bagi menguruskan kecairan yang lebih berkesan, yang mampu menjana kadar pulangan yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera dan Amanah Saham Nasional di sini hari ini.

PNB juga telah memindahkan lebih banyak tunai ke dalam pendapatan tetap untuk mempelbagaikan lagi portfolionya.

"Jadi apabila salah satu pasaran itu melemah, pasaran lain boleh membuat imbangan. Kepelbagaian juga akan di buat merentasi pelbagai bidang seperti hartanah, kewangan dan sektor-sektor lain. Kami juga sedang melihat kepada pelaburan yang mempunyai pendapatan berulang," katanya lagi.

Pada November 2018, pegangan tunai PNB adalah lebih rendah sebanyak 16.9 peratus berbanding 17.5 peratus dari November tahun lepas, manakala pegangan pendapatan tetap menokok kepada 6.6 peratus daripada 5.8 peratus sebelum ini.

Semasa pengumuman, Zeti turut menggariskan empat strategi utama lain PNB bagi 2019, merangkumi kajian semula separuh penggal ke atas pelan strategik di bidang peruntukan aset strategik, pengurusan risiko perusahaan dan transformasi organisasi.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan juga meneruskan rancangan pembentukan nilai kami bagi syarikat-syarikat strategik dan seterusnya melibatkan diri dengan syarikat-syarikat teras untuk meningkatkan prestasi mereka, memperkayakan pengalaman para pemegang unit melalui tawaran digital yang baharu serta memperhebatkan usaha untuk menggalakkan celik kewangan serta mendidik pemegang unit mengenai risiko pelaburan dan pulangan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!