Sinar baharu 'budak gua'

No Image Caption
A
A
A

MAE SAI - Setahun sudah berlalu, kisah 12 pemain bola sepak pasukan Wild Boars bersama jurulatih mereka terperangkap selama 18 hari dalam gua ditenggelami banjir di utara Thailand kini tinggal kenangan.

Penerbit filem, penulis buku, hos rancangan talk show turut mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan daripada cerita di sebalik operasi menyelamat paling mencabar di Gua Tham Luang yang disertai pasukan pakar penyelam antarabangsa.

Kebanyakan ‘budak gua’ terbabit masih tinggal di bandar miskin di Mae Sai dan melakukan aktiviti bermain bola sepak bersama jurulatih mereka walaupun telah ke beberapa negara untuk berkongsi kisah mendebarkan tersebut selain menandatangani perjanjian bersama penyedia perkhidmatan penstriman video Amerika Syarikat (AS), Netflix.

Kemasyhuran tersebut bagaimanapun ‘menyekat’ kumpulan remaja terbabit dan keluarga keluarga mereka yang terikat dengan ‘kontrak eksklusif’. Ini kerana, mereka tidak lagi boleh bercerita secara bebas tentang pengalaman sepanjang terperangkap dalam gua sejuk dan gelap tersebut.

Impian jadi kenyataan

Pada 23 Jun lalu, kesemua 12 remaja terbabit mengikuti lawatan sehari ke kompleks gua terbabit dan tidak menyangka hujan akan menenggelamkan kawasan terbabit.

Nasib kesemua mereka terus menjadi tanda tanya sehingga dua penyelam warga Britain nekad menyelam ke laluan sempit di Tham Luang dan menemui kesemua mereka terperangkap dalam ruang lembab sejauh empat kilometer dari pintu masuk pada 2 Julai lalu.

Adul Sam-on yang berusia 14 tahun ketika itu menjadi ‘bintang’ drama mereka.

Dia menyertai rakan-rakannya sebagai penduduk tanpa negara termasuk jurulatih mereka, Ekkapol Chantawong yang dinafikan hak kerakyatan di Thailand.

Artikel Berkaitan:

Patung Saman Gunan kini ditempatkan di pintu masuk gua Tham Luang.
Patung Saman Gunan kini ditempatkan di pintu masuk gua Tham Luang.

Remaja terbabit adalah yang paling menonjol antara rakannya yang lain selepas dia mengucapkan ‘terima kasih’ dalam bahasa Inggeris kepada penyelamat British yang menemui mereka sembilan hari selepas dilaporkan hilang.

Adul dilahirkan di negeri Wa di Myanmar dan dibesarkan di Thailand tanpa sijil kelahiran sah.

Selepas operasi menyelamat dramatik itu, Adul bersama jurulatih dan dua rakan pasukannya diberikan hak kerakyatan serta pasport buat pertama kali yang membolehkan mereka melakukan perjalanan ke Los Angeles dan Manchester.

Menjelang ulang tahun pertama kisah ‘budak gua’ itu pada hari ini, orang sekeliling yang rapat dengan remaja terbabit melihat kemasyhuran tidak mengubah mereka.

“Dia masih sama seperti sebelum ini,” kata rakan Adul dikenali sebagai Aman Sommol.

Menurut Aman, Adul masih mengajar rakan-rakannya subjek bahasa Inggeris dan membantu mereka menyiapkan kerja rumah.

“Dia menjadi role model untuk semua orang di sekolah,” tambahnya.

Difahamkan, Adul dan beberapa rakan pasukan Wild Boars kini bermain untuk Ekkapol Academy, sebuah kelab baharu yang diasaskan jurulatih mereka, Ek.

Pelancong tidak melepaskan peluang untuk bergambar di hadapan lukisan mural memaparkan 'hero' yang terlibat dalam operasi dramatik Tham Luang.
Pelancong tidak melepaskan peluang untuk bergambar di hadapan lukisan mural memaparkan 'hero' yang terlibat dalam operasi dramatik Tham Luang.

Jelas sahabatnya, jurulatih Ek sangat gembira kerana impiannya tercapai untuk mengendalikan akademi bola sepak sendiri.

“Ini menjadi sinar baharu dalam hidupnya,” kata pembantu jurulatih, Noppadol Kanthavong.

Jurulatih Ek juga kini mengetuai sebuah syarikat media yang bertindak sebagai perantara antara syarikat produksi, remaja terbabit dan keluarga mereka untuk Netflix yang akan turut diarahkan oleh pengarah Crazy Rich Asians, Jon M Chu.

Terdapat khabar angin tentang bayaran kepada kumpulan remaja terbabit.

Media di Amerika Syarikat (AS) mendakwa mereka masing-masing menerima AS$100,000 (RM414,970) seorang.

13 nombor bertuah

Antara kisah yang menyumbang kepada kemasyhuran mereka adalah operasi menyelamat yang dramatik.

Selepas menimbangkan beberapa pilihan, kesemua 12 remaja bersama jurulatih mereka akhirnya diberikan sedatif dan dibawa keluar yang mengambil masa tiga hari kerana kru perlu menukar tangki udara dan bekala lain secara berperingkat.

Antara penyelamat yang diangkat sebagai hero adalah Saman Gunan yang terkorban ketika operasi menyelamat yang mengambil masa selama hampir tiga minggu.

Penyelam lain seperti Vernon Unsworth turut mendapat perhatian media selepas jutawan teknologi AS, Elon Musk menggelarkan 'pedo' merujuk kepada pedofilia hanya kerana Unsworth mempersoalkan peranan Musk selepas beliau hadir di lokasi terbabit.

Unsworth mengambil pendekatan rendah diri walaupun beliau memainkan peranan penting dalam operasi menyelamat tersebut.

"Tiada siapa antara kami adalah hero. Kami hanya jalankan tugas yang diberikan. 13 bukan lagi nombor tidak bertuah," ujarnya. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!