Buang kucing boleh didakwa: MDM

Nor Nadia (tengah) menyampaikan cenderahati kepada wakil badan bukan kerajaan yang menyertai program gotong royong.
Nor Nadia (tengah) menyampaikan cenderahati kepada wakil badan bukan kerajaan yang menyertai program gotong royong.
A
A
A

MARANG - Pihak Majlis Daerah Marang (MDM) memberi amaran kepada orang awam agar tidak menjadikan rumah kucing di Taman Rekreasi Pulau Kerengga sebagai tempat pembuangan haiwan itu.

Setiausaha MDM, Nor Nadia Zahirah Zakaria berkata, kamera litar tertutup (CCTV) telah dipasang di sekitar kawasan berkenaan bagi memantau aktiviti seumpama itu berlaku dari masa ke masa.

Katanya, mana mana individu yang dikesan dan didapati membuang kucing tanpa mendapat kebenaran MDM di taman rekreasi berkenaan khususnya di kawasan sekitar rumah kucing akan didakwa.

Beliau menafikan bahawa rumah kucing itu tidak dijaga seperti mana dakwaan sesetengah masyarakat di media sosial sebaliknya kawasan itu dipenuhi kucing dibuang orang awam sehingga kelihatan kotor.

"Walaupun terdapat sebuah rumah kucing ditempatkan MDM di situ ia tidak bermakna orang awam dengan sesuka hati membuang kucing di kawasan rekreasi berkenaan tanpa kebenaran.

"Objektif MDM menubuhkan rumah kucing adalah bagi memastikan haiwan itu tidak berkeliaran di pasar, kedai MDM supaya tiada rungutan ditimbulkan pengunjung premis terbabit," katanya hari ini.

Sebanyak 96 kucing terbiar kini ditempatkan di rumah kucing milik Majlis Daerah Marang di Taman Rekreasi Pulau Kerengga.
Sebanyak 96 kucing terbiar kini ditempatkan di rumah kucing milik Majlis Daerah Marang di Taman Rekreasi Pulau Kerengga.

Sebelum itu, Nor Nadia mengetuai program gotong-goyong membersih rumah kucing dan kawasan Taman Rekreasi Pulau Kerengga bagi memastikan persekitaran kawasan itu bersih dan terjaga.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, kucing di bawah jagaan pihak MDM di pusat perlindungan haiwan itu turut mendapat suntikan dan rawatan dikendalikan pihak Tawakkal Veterinary dan Unicat Kingdom.

Program bagi menceriakan kawasan rekreasi awam itu mendapat turut kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan Malaysia Marang dan Kelab MDM Bikers serta penduduk berdekatan.

Rumah kucing itu diwujudkan kira kira dua tahun lalu selepas MDM mendapat banyak aduan mengenai lambakan kucing terbiar di beberapa premis makanan di sekitar Bandar Marang dan Kelulut.

Selepas mendapat peruntukan kira kira RM20,000, kerja pembinaan dimulakan pada Jun dan dirasmikan Oktober dua tahun lalu dan sebanyak 96 kucing yang terbiar kini ditempatkan di rumah kucing tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!