Saifuddin buat pemantauan mengejut di pasar borong
KUALA LUMPUR - Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail melakukan pemantauan mengejut di Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan di sini sekitar jam 4 pagi hari ini.
Dalam lawatan itu, Saifuddin bersama pegawai penguatkuasaan kementerian meneliti pergerakan harga barang selepas tamat tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), menilai kepatuhan terhadap undang-undang pengguna serta mendapat maklum balas daripada peniaga dan pengguna.
“Alhamdulilah, hasil pemantauan mendapati harga barangan keperluan masih lebih kurang sama dengan harga semasa tempoh pelaksanaan SHMMP. Bekalan juga mencukupi dan kualiti barangan jualan tinggi.
“Saya ingin mengingatkan para peniaga supaya tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya walaupun tempoh SHMMP telah berakhir. Peniaga juga harus patuh terhadap undang-undang pengguna seperti meletakkan tanda harga dan memastikan timbang sukat tepat,” katanya yang memuat naik status dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Saifuddin berkata, beliau bersama pegawai penguat kuasa kementerian akan meneruskan pemantauan secara kerap bagi menangani sebarang pencatutan dan menjaga kebajikan pengguna.
“Bagi pengguna pula, saya minta supaya laporkan kepada KPDNHEP-Laman Rasmi sekiranya mendapati sebarang kenaikan harga secara mendadak atau ketidakpatuhan terhadap undang-undang pengguna.
“Antara saluran yang boleh digunakan adalah saluran aplikasi WhatsApp kementerian iaitu 019-2794317,” ujarnya.
Menurutnya lagi, diharapkan berkat kerjasama semua pihak, kos sara hidup di Malaysia akan terus kekal berpatutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!