Premis hiburan terus beroperasi tanpa lesen disita
KUALA LUMPUR - Kedegilan sebuah premis hiburan tanpa lesen menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) rakyat asing di Bandar Puchong Jaya, Puchong, meskipun pernah diserbu awal bulan ini, mengundang tindakan sita oleh pihak berkuasa tempatan.
Pegawai Turus D7 IPK Selangor DSP Azmi Syukor berkata premis hiburan itu sekali lagi diserbu Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor kira-kira 12.30 tengah malam tadi.
Hasil serbuan itu 20 wanita warga asing membabitkan warga Vietnam, Thailand, Indonesia dan China berusia lingkungan 20-an, disyaki berkerja sebagai GRO di premis terbabit, ditahan bersama-sama dua penjaga premis warga tempatan berusia 40-an dan dua lelaki warga Bangladesh berusia 20-an.
“Premis ini akan disita oleh pihak berkuasa tempatan, dan pihaknya sedang mengesan pemilik premis disyaki warga tempatan untuk tindakan selanjutnya.
"Serbuan pertama pada 1 Jun lalu, seramai 20 warga GRO warga asing ditahan dan premis ini masih meneruskan operasi... premis ini juga beroperasi dalam tempoh masa panjang bermula 5 petang hingga 4 pagi setiap hari,” katanya.
Azmi berkata siasatan mendapati premis terbabit menawarkan khidmat GRO kepada pelanggan dengan harga RM150 (seorang GRO) yang dipilih untuk menemani mereka bagi tempoh tiga jam.
Polis turut merampas pelbagai peralatan termasuk mikrofon, alat pembesar suara dan wang tunai berjumlah RM318 dalam serbuan itu, katanya.
Beliau berkata semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) akta yang sama, serta Seksyen 6(1) Enakman Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1995. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!