'Hanya suara terpencil yang masih bimbang kerjasama Pas-UMNO'
KUANTAN - Ahli-ahli Pas yang masih bimbang mengenai kerjasama politik parti itu dengan UMNO hanya mewakili suara terpencil.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebaliknya kebanyakan ahli yang lama dalam parti bersetuju dengan kerjasama tersebut.
"Itu suara terpencil, terlalu sedikit, bukan baharu dalam Pas. Mereka yang dah lama dan ikut budaya politik matang dan sejahtera dapat menerima keputusan yang kami buat.
"Sebenarnya kami sudah turun ke negeri-negeri dan berdialog," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas ke-65, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Mengulas lanjut, katanya, kerjasama politik dengan UMNO itu masih kekal di peringkat taawun dan bukan tahaluf siyasi.
"Sehingga ini bertaawun dahulu kerana bertahaluf ini ada syarat perlu dipersetujui bersama. Tahaluf maknanya persefahaman untuk tubuh kerajaan.
"Taawun ini kerjasama politik. Yang penting persefahaman dahulu sebelum tandatangani perjanjian kerana kita lihat dulu keadaan," katanya.
Dalam pada itu, Hadi berkata, Pas juga tidak semestinya perlu menyertai kerajaan untuk menyokong sebarang dasar yang baik.
"Kita menyokong perubahan, ada pun menyertai kerajaan itu tengok keadaan. Kita boleh sokong kerajaan tanpa masuk kerajaan, kerajaan campuran pun boleh.
"Itu akan dilihat bila keadaan berlaku, bergantung kepada situasi politik yang berikutnya," katanya.
Dalam pada itu, Abdul Hadi berpuas hati dengan barisan kepimpinan baharu Pas yang dipilih melalui pemilihan tahun ini.
"Sedikit sangat pertukaran, yang dilantik banyak orang baharu namun masih seimbang antara golongan profesional dan ulama," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!