Dua lelaki diberkas, dadah lebih RM100,000 dirampas

Aidi (tengah) menunjukkan sebahagian pil kuda yang dirampas dalam sidang media di IPK Terengganu hari ini. Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, Superintendan Roslan Tahir (dua dari kiri).
Aidi (tengah) menunjukkan sebahagian pil kuda yang dirampas dalam sidang media di IPK Terengganu hari ini. Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, Superintendan Roslan Tahir (dua dari kiri).
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu melumpuhkan satu sindiket pengedaran dadah di daerah ini selepas menahan dua lelaki tempatan serta merampas dadah dianggarkan bernilai keseluruhan hampir RM100,000 dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Chabang Tiga dan Chendering, pada 19 dan 20 Jun lalu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Aidi Ismail berkata, kedua-dua serbuan itu dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu hasil risikan dan maklumat awam.

Menurutnya, dalam serbuan pertama kira-kira jam 12 tengahari, seorang lelaki berusia 25 tahun dari Kampung Padang Hiliran, di sini, ditahan ketika berada di bawah garaj sebuah rumah di Jalan Kubang Buyong, di sini.

"Hasil pemeriksaan ditubuh badan suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai runcit itu menemukan satu bungkusan kertas suratkhabar yang mengandungi tiga peket plastik cerah dan setiap satu peket berisi serbuk atau ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu (methamphetamine).

"Kesemua barang terlarang yang anggaran berat kasar 154.30g itu ditemukan di dalam poket seluar dipakai suspek di bahagian depan sebelah kanannya," katanya dalam sidang media di Bilik Media IPK Terengganu, di sini hari ini.

Aidi berkata, pihaknya yakin suspek yang masih bujang itu hanya menjadi pengedar sahaja kerana hasil ujian awal saringan air kencing mendapati negatif sebarang barang terlarang dan dia tidak memiliki rekod jenayah lampau.

"Selain merampas dadah jenis syabu yang anggaran bernilai RM10,500, kita juga turut menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Ego bernilai RM3,000 (di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta 1988) Akta 340.

"Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam pengedaran barang terlarang ini lebih kurang sebulan lalu dan dengan tangkapannya, kita yakin dapat lumpuhkan aktiviti pengedaran dadah di sekitar daerah Kuala Terengganu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aidi berkata, serbuan kedua pula dijalankan kira-kira jam 1 pagi sebelum menahan seorang lelaki berusia 22 tahun dari Kampung Titian Baru, di sini, di sebuah kedai makan, di Kampung Titian Baru.

"Pemeriksaan ditubuh badan penganggur itu tidak menjumpai sebarang barang salah sebelum pemeriksaan lanjut ke atas sebuah motosikal jenis Yamaha Nouvo milik suspek menjumpai satu beg plastik hitam di tempat simpan barang bawah tempat duduk.

"Di dalam plastik itu mendapati ketulan kristal disyaki syabu nilai anggaran berat kasar 1018.10g dan turut dijumpai dua bungkusan plastik lutsinar biru yang mengandungi 20 peket berisi pil kuda yang berat kasar 400g.

"Turut dijumpai satu beg plastik ungu tertulis 'Kala Enterprise' yang didalamnya mengandungi tiga botol air minuman 500ml yang berisi cecair berwarna kehitaman disyaki dadah jenis kodein berat kasar 1.5l ," katanya.

Jelas Aidi, siasatan awal mendapati suspek yang masih bujang ini sudah memiliki dua rekod jenayah lampau berkait kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 pada 2017 dan 2018.

"Hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dia positif dadah jenis benzo.

"Sejumlah RM81,195 termasuk dadah jenis syabu bernilai (RM53,8645), pil kuda (RM27,000) dan kodein (RM330) dirampas selain wang tunai campur-campur berjumlah RM1,150 disita," katanya.

Aidi berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 39B ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan rotan tidak kurang 15 kali sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!