KOTA BHARU – Seorang pembantu perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan mencabul seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPT) di sini bulan lalu. Tertuduh Ahmad Hafifi Mohamad Nawi,31, didakwa di hadapan Majistret Izuddin Mohd Shukri. Mengikut pertuduhan tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita berusia 21 tahun tersebut dengan niat mencabul kehormatan mangsa di klinik kesihatan IPT berkenaan pada jam 1.45 petang 8 Mei lalu. Difahamkan mangsa ketika itu ke klinik berkenaan bertujuan mendapatkan rawatan kerana sakit pinggang dan gastrik. Dakwaan terhadap tertuduh dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu. Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yi manakala tertuduh diwakili peguam Azura Ghazali. Terdahulu pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 namun tertuduh melalui peguamnya memohon jumlah itu dikurangkan. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan pada 15 Julai depan untuk serahan dokumen.