Syarat ketat jika kembali kepada UMNO
SABAK BERNAM - UMNO Sabak Bernam sebulat suara meminta kepimpinan mengenakan syarat ketat sekiranya Ahli Parlimen BN yang mengumumkan keluar UMNO ingin kembali semula kepada parti itu.
Ketua UMNO Bahagian Sabak Bernam, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, pemimpin terbabit perlu menjalani tempoh edah jika ingin kembali kepada UMNO.
"Mereka perlu dikenakan edah tertentu contohnya perlu cukupkan tiga tahun untuk menjadi ahli baharu.
"Sekiranya ingin bertanding pula sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun bertanding ketua cawangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sabak Bernam di Dewan UMNO Bahagian Sabak Bernam di sini hari ini.
Abd Rahman berkata, beliau juga terdengar terdapat ura-ura ahli Parlimen yang keluar UMNO ingin kembali semula kepada parti terbabit.
"Mereka risau sebab dah terima surat saman RM10 juta dan memerlukan kos banyak untuk melantik peguam dan sebagainya.
"Adakah mereka ini beranggapan UMNO ini rumah tumpangan dan inap desa yang boleh keluar dan masuk sesuka hati.
"Sepatutnya mereka perlu menjadi ahli Parlimen bebas dahulu dan baharulah dipertimbang dengan syarat ketat menjadi ahli UMNO," katanya.
Katanya, UMNO bahagian itu juga berlapang dada dan berpendirian teguh terhadap pucuk pimpinan selagi tidak melanggar hukum Islam.
"Kita akan terus menzahirkan sokongan kepada kepimpinan demi memastikan kelangsungan UMNO untuk kesinambungan generasi masa depan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!