Rumah Ronald McDonald kini dibuka di HUSM

Dr Asma (tiga dari kanan) meninjau dan berbual dengan antara pesakit yang menggunakan perkhidmatan rumah tersebut di sini.
Dr Asma (tiga dari kanan) meninjau dan berbual dengan antara pesakit yang menggunakan perkhidmatan rumah tersebut di sini.
A
A
A

KOTA BHARU - Rumah Ronald McDonald (RHMC) kedua yang bernilai RM4 juta kini mula beroperasi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata, rumah kedua tersebut dibina atas tanah seluas 0.4 hektar dan berada di dalam kawasan hospital bagi memudahkan keluarga pesakit menggunakan perkhidmatan tersebut.

“Pihak kami telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan RHMC pada tahun lepas untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) HUSM.

“Ini merupakan rumah kedua dan yang pertama sebelum ini di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Kita berharap ia dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kepada pengguna yang terdiri daripada keluarga pesakit kanak-kanak (pediatrik) yang dirawat di sini.

"Sekurang-kurangnya lima pesakit kanser baharu yang direkodkan menerima rawatan di wad pediatrik dalam tempoh sebulan dan purata 60 pesakit dalam setahun.

"Dengan adanya rumah tumpangan ini, ia membantu meringankan beban keluarga selain dapat berada dekat bersama-sama dengan pesakit sepanjang masa,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembukaan RMHC, di Kampus HUSM, di sini.

Turut hadir, Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Datuk Dr Ahmad Sukari Halim dan Presiden RMHC, Azmir Jaafar.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, rumah tumpangan tersebut menyediakan 18 bilik tidur, ruang makan, ruang rehat, dapur, bilik dobi, bilik permainan.

Selain itu, Asma berkata, rumah tumpangan berharga RM5 sehari itu turut mewujudkan bilik sensori Ronald McDonald yang menyediakan peralatan multi deria khas.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Azmir ketika ditemui berkata, rumah itu dibina berdasarkan kepada keperluan yang mendesak memandangkan hospital HUSM mencatatkan jumlah pesakit yang tinggi setiap tahun.

"Pembinaan RMHC ini adalah daripada sumbangan rakan-rakan niaga kita dan juga pelanggan McDonald's yang menyumbang melalui tabung RMHC yang kita letak di lebih 275 restoran McDonald's di seluruh negara,” katanya.

Beliau juga memberitahu, pihaknya juga merancang untuk membuka RMHC yang ketiga di Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kuala Lumpur selepas ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!