PKR parti ‘riuh’, bukan bermasalah
KUALA KEDAH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan parti unik dalam sejarah politik negara kerana ia adalah parti reformasi pertama, menyebabkan ia agak ‘riuh’ dengan pelbagai konflik dan pandangan.
Bekas Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail berkata, parti itu bukan sarat dengan masalah atau dipenuhi pelbagai skandal dan kemelut kepimpinan.
Menurutnya, PKR hanya parti ‘riuh’, bukannya parti bermasalah.
“Kita cuba lakukan perkara baharu dalam parti, antaranya keahlian kepada semua kaum, kebebasan kepada ahli bersuara, parti pertama dalam negara yang berikan hak setiap ahli mengundi, bukan menerusi perwakilan, selain keahlian boleh didaftar melalui atas talian,” katanya.
Dr Azman yang juga Ahli Parlimen Kuala Kedah berkata, tidak mustahil pembaharuan itu diterima dengan kejutan dan berlaku ledakan terutama dalam media sosial.
“Masalahnya apabila diberi kebebasan, ada salah guna bukan untuk kebaikan. Saya yakin PKR akan sampai kepada satu tahap di mana parti dapat imbangkan kebebasan secara pro dan kontra, dan menjurus kepada kebaikan berbanding keburukan,” katanya.
Menurutnya, bagi mengimbangi parti, ahli semua peringkat perlu menerapkan disiplin selain pengawasan oleh lembaga disiplin parti.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecohan yang berlaku kebelakangan ini dalam PKR, antaranya pelantikan bekas ahlinya, Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, selain isu video intim mirip pemimpin kanan parti itu.
Malah sebelum ini ketika pemilihan parti dibuat, pelbagai insiden berlaku seperti pergaduhan serta berbalas kenyataan sinis antara pemimpin parti itu.
Dr Azman juga percaya sebagai sebuah parti yang memberi kebebasan kepada ahlinya bersuara dan menegur pemimpin, terdapat pihak cuba mengambil kesempatan dengan menyerang peribadi pemimpin tertentu.
“Bila ruang terbuka luas, ada yang gunakan serangan tidak beretika melalui rakaman video dan sebagainya. Jawatankuasa disiplin parti harus lebih tegas dan kenakan tindakan sekiranya ada ahli yang jelas langgar disiplin dan arahan parti,” katanya.
Menurutnya, ini bagi mengelak kejadian sama terus berulang.
“Pemantauan dan teguran perlu ada, walaupun PKR tak mahu dilihat sebagai big brother yang kawal politik negara, namun ia satu keperluan. Kebebasan tanpa kawalan hinggakan ada perkara berlaku di luar jangkaan, dianggotai pula pelbagai latar belakang, jadi riuhlah,” katanya.
Dr Azman yakin dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang, PKR akan menjadi sebuah parti yang lebih matang dalam segala aspek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!