'Jangan politikkan kursus haji'
RAUB - Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah memasukkan elemen politik dalam kursus perdana haji kepada bakal jemaah haji sebelum ini walaupun berkuasa ketika itu.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan terdahulu tidak mengambil kesempatan tersebut dalam kursus terbabit.
"Ada jemaah haji WhatsApp saya seawal 9 pagi, rupanya hari ini ada kursus perdana haji dan dalam kursus perdana haji itu ada menceritakan segala kesalahan dan kesilapan, tohmahan terhadap pengurusan dan kerajaan lama.
"Ini tidak pernah berlaku zaman BN. Fokuslah kursus Perdana Haji, ini rukun Islam yang kelima. Zaman kita memerintah macam mana kita berkuasa pun kita tidak pernah mengambil kesempatan untuk mempolitikkan kursus Perdana Haji," katanya pada Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO Raub di Dewan UMNO Raub di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas dakwaan kerajaan PH memasukkan elemen politik dalam kursus Perdana Haji kepada bakal haji kali ini.
Menurutnya, tindakan berkenaan amat mengecewakannya kerana boleh mewujudkan perpecahan dalam umat Islam di negara ini.
"Ini (ibadah haji) sifatnya perhambaan mutlak kepada Allah bukan medan untuk kita berpolitik. Ada yang datang (kursus) adalah ahli UMNO, ada ahli Pas, ada ahli parti pelbagai, ada tidak berparti, jadi ambillah kesempatan untuk ambil falsafah haji iaitu menyatukan bukan memecahkan.
"Hari ini bila mereka (PH) berkuasa tengok apa yang berlaku kepada institusi Islam, banyak perkara kalau nak sebutkan. Kerajaan Malaysia baharu bukan baharu tetapi haru biru. UMNO perlu bangkit dan memperbetulkan keadaan selain masyarakat perlu menilai sendiri apa yang dilakukan oleh kerajaan PH khususnya terhadap umat Islam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!