Malaysia sambut baik langkah ASEAN bida hak tuan rumah Piala Dunia 2034
BANGKOK - Malaysia menyambut baik langkah ASEAN untuk melancarkan bidaan bersama untuk menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia FIFA 2034.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata lima negara anggota ASEAN telah mencetuskan idea tersebut semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di sini.
“Kami merasakan secara sendirian (satu negara), kami tidak akan berpeluang untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia. Mungkin semua negara anggota ASEAN bersama, kita dapat menganjurkannya.
“Sudah tentu perlawanan boleh diadakan di semua negara anggota ASEAN seperti apa yang berlaku semasa Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah bersama pada 2002,” katanya kepada media Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Thailand serta menghadiri sidang kemuncak tersebut, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi ASEAN, Jen.Prayuth Chan o-cha, yang juga Perdana Menteri Thailand, mengumumkan badan serantau itu bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!