Tok Mat bidas Ketua AMK
KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan membidas kenyataan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang meminta UMNO memulangkan semua dana yang katanya diterima daripada 1MDB.
Menurut Mohamad, permintaan itu bukan sahaja tidak berasas malah menunjukkan Ahli Parlimen Johor Bharu itu tidak peka dengan keadaan semasa.
Jelas beliau, sekalipun dana yang diterima UMNO itu dibuktikan kelak sememangnya datang dari 1MDB, bagaimana untuk UMNO pulangkan sedangkan kerajaan sudah membekukan dana parti tersebut.
“Pemfailan oleh SPRM untuk pengembalian dana yang kononnya dari 1MDB tersebut adalah satu proses undang-undang.
“Komitmen terbaik UMNO adalah untuk menghormati proses tersebut, tidak melakukan sebarang campur tangan dan memberikan kerjasama sepenuhnya.
“Amat pelik jika seorang Ahli Parlimen menggesa saya untuk memintas proses undang-undang hanya kerana mahu menurut permintaan beliau yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Memetik laporan sebuah portal hari ini, Akmal Nasrullah dilaporkan menggesa Mohamad memulangkan semula dana 1MDB yang diagihkan kepada parti itu.
Menurutnya, tindakan itu perlu dilakukan untuk menunjukkan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berbeza dengan bekas presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dalam pada itu, Mohamad berpendapat kenyataan pemimpin muda dari PKR juga seolah-olah menunjukkan beliau tidak yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh membuktikan kes tersebut.
“Jangan salah faham, saya bukan dalam proses untuk bersaing dengan sesiapa pun. UMNO tidak bermain geng-geng dalaman.
“Fokus saya sekarang adalah untuk memulihkan UMNO dan mengukuhkannya secara keseluruhan. Ini bukan perlumbaan seperti mana pergeseran ‘Azmin vs Anwar’,” tegas beliau.
Dalam kenyataan sama, ADUN Rantau itu turut melahirkan kekecewaan apabila ada Ahli Parlimen bercakap tanpa sebarang pengetahuan asas undang-undang dan fakta terkini.
“Sekalipun ingin muncul relevan dan berpemikiran, saya harap Saudara Akmal boleh memberikan cadangan yang kalaupun tidak bernas, sekurang-kurangnya biarlah rasional dan praktikal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!