Menara MBJB setanding Burj Khalifa
JOHOR BAHRU - Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dijangka bakal menjadi mercu tanda baharu Johor dengan menampilkan pelbagai elemen unik dan teknologi mesra alam masa kini.
Reka bentuk penempatan baharu kakitangan MBJB itu setanding menara pencakar langit, Burj Khalifa kerana diilhamkan firma arkitek yang sama dengan mercu tanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) tersebut.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pembinaan menara tersebut juga dijangka dapat menampung keperluan dan penempatan warga kerja PBT berkenaan yang kini berjumlah lebih 1,400 orang.
“Pengurusan MBJB merancang untuk menjadikan Menara MBJB ini sebagai ibu pejabat baharu menggantikan kompleks lama yang sudah berusia lebih 50 tahun.
“Pemindahan ini juga dijangka dapat menyelesaikan masalah dan rungutan sering diluahkan pelanggan yang datang berurusan di MBJB iaitu kekurangan tempat letak kereta,” katanya ketika berucap pada Majlis Topping Off Menara MBJB di sini hari ini.
Sahruddin berkata, bangunan tersebut mempunyai tempat letak kereta tujuh tingkat aras bawah sedalam 30 meter yang mana merupakan antara tempat letak kereta paling dalam di negara ini.
Sementara itu, Datuk Bandar MBJB, Datuk Amran A Rahman berkata, antara kelengkapan terbaharu yang ada di menara tersebut adalah ciri-ciri penjimatan tenaga elektrik.
“Bangunan ini adalah hasil daripada gabungan reka bentuk bangunan dan tambahan ciri-ciri penjimatan tenaga. Ia juga berjaya mendapat pengesahan bangunan hijau pada 25 Ogos 2017 oleh Green Building Index.
“Reka bentuk dan komponen bagi pemindahan bangunan ini adalah mengikut piawaian bangunan pejabat kelas A yang dicapai melalui kemasan servis teknikal berkualiti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!