Lebih sejuta pelancong kunjungi Sabah
KOTA KINABALU - Sabah menerima kunjungan lebih sejuta pelancong dalam tempoh antara bulan Januari dan Mei lepas, dengan 662,560 daripadanya adalah dari kalangan pelancong tempatan yang tiba dengan penerbangan dalam negeri menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew berkata kerajaan negeri meletakkan sasaran kehadiran jumlah pelancong yang mencecah seramai empat juta orang tahun ini, berbanding 3.8 juta ketibaan tahun lepas.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata pihak kerajaan percaya jumlah sasaran itu mampu dicapai dengan kerjasama semua pemain-pemain industri.
“Dalam industri pelancongan di Sabah, sokongan anggota MATTA (Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia) terhadap usaha kerajaan memajukan industri pelancongan amat penting sekali," kata beliau semasa berucap di majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri cawangan Sabah di sini malam ini.
Katanya kerajaan juga amat peka dengan pelbagai isu pelancongan yang perlu diberi perhatian seperti masalah kesesakan di pulau-pulau peranginan, isu kebersihan, isu pengusaha pelancongan tidak berdaftar, ancaman kepada spesis haiwan terancam, dan perkhidmatan pelanggan yang tidak memuaskan.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!