Tun M akhiri lawatan kerja empat hari ke Thailand

Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-Cha. - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan o-Cha. - Foto Bernama
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakhiri lawatan kerja empat hari ke Thailand sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 hari ini dan menyifatkan mesyuarat yang diadakan telah membuahkan hasil.

"Ini adalah mesyuarat maraton. Mesyuarat demi mesyuarat. Saya seolah-olah sesak untuk bernafas tetapi kami mencapai banyak perkara dalam mesyuarat ASEAN ini, " kata Perdana Menteri berusia 93 tahun itu kepada wartawan Malaysia, di sini.

Dr Mahathir yang mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak tersebut mempunyai jadual yang padat termasuk mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari Thailand, Jeneral Prayuth Chan o-cha.

Semalam, Dr Mahathir menghadiri tiga (perjumpaan) iaitu perjumpaan pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), Perjumpaan Pemimpin Asean dengan wakil-wakil Belia ASEAN, dan Perjumpaan Pemimpin ASEAN dengan wakil-wakil Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC).

"Semasa perjumpaan itu, mereka telah mengemukakan pandangan dan laporan mengenai keperluan mereka dan apa yang perlu dilakukan, kami mengambil perhatian semua permintaan dan memorandum mereka,” kata beliau.

Awal hari ini, Dr Mahathir menghadiri pembukaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 dan Pemukiman Pemimpin-pemimpin ASEAN.

Beliau juga menghadiri Sidang Kemuncak ke-13 Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-12 Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).

"Setiap seorang daripada kami dapat memberi pandangan mengenai prestasi ASEAN. Kami mendengar laporan tentang prestasi ASEAN.

Artikel Berkaitan:

"Secara keseluruhan, kami agak puas bahawa banyak kemajuan telah dicapai," katanya.

Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darrel Leiking dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Wisma Putra, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA).- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!