7156 unit Rumah Makmur bakal dibina di Pahang
KUANTAN - Sebanyak 18 projek Rumah Makmur membabitkan 7,156 unit sudah diluluskan sehingga Mei lalu.
EXCO Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Abdul Rahim Muda berkata, setiap unit kediaman memiliki tiga bilik tidur dan dua bilik air ditawarkan pada harga RM80,000 dengan syarat pemohon mempunyai pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah.
"Sebanyak sembilan projek di Kuantan membabitkan 4,090 unit; dua projek di Maran, Rompin dan Jerantut dan masing-masing satu projek bagi daerah Lipis, Bera dan Jerantut," katanya semalam.
Abdul Rahim berkata, projek di daerah Lipis, Bera dan Jerantut akan ditambah secara berperingkat jika ada pemaju yang berminat.
"Kalau kita tengok di Bera, walaupun mereka hanya ada satu projek Rumah Makmur diluluskan setakat ini, tapi jumlah unit ditawarkan adalah agak besar iaitu 724 unit.
Mengulas mengenai perkembangan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang, Abdul Rahim berkata, sebanyak 123 projek sedang dan sudah disiapkan.
"Sebelum ini, kerajaan negeri luluskan 131 projek (PR1MA Pahang), namun kita batalkan lapan projek berikutan masalah yang tidak dapat dielakkan.
"Kerajaan negeri akan pantau semua projek yang sudah diluluskan ini bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual.
"Ada antaranya sudah siap dan didiami pemilik dan ada projek itu sedang dalam proses perancangan reka bentuk serta memuktamadkan syarikat pemaju yang akan melaksanakan projek terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!