Mursi presiden demokrasi
RIBUAN pelajar Malaysia yang pernah belajar di Mesir sejak awal 1920-an hinggalah sekarang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam banyak peristiwa serta fasa perubahan sosio politik negara itu.
Pada dasawarsa 1970-an, kami menceburi pelbagai bidang dan subbidang diniyyah (keagamaan), bidang bahasa dan sastera Arab serta sains perubatan seperti perubatan, farmasi dan pergigian. Kami belajar di universiti diiktiraf oleh kerajaan Malaysia di kota besar dan kecil di Mesir.
Antara perkara penting diajar kepada pelajar perubatan seperti saya adalah hak pesakit dan etika serta adab perubatan terhadap pesakit. Kita akan kembali kepada subjek idi hujung makalah.
Antara peristiwa penting di Mesir adalah: Revolusi 23 Julai 1952 yang menamatkan pemerintahan Raja Farouk serta permulaan zaman Mesir sebagai sebuah republik, krisis Terusan Suez, Oktober 1956, Perang Enam Hari Arab-Israel (5-10 Jun) 1967, Perang Oktober (6-25) 1973, Rusuhan Roti pada Januari (18-19) 1977, pembunuhan Presiden Sadat pada 6 Oktober 1981, Revolusi 25 Januari 2011 yang mengguling rejim Presiden Husni Mubarak, pelantikan demokratik Presiden ke-5 Muhammad Mursi pada 30 Jun 2012, kudeta tentera 3 Julai 2013 dan pergulingan serta pemenjaraan Mursi.
Mursi menang pusingan kedua undi presiden dengan kiraan undi lebih sedikit daripada 51 peratus.
Beliau ditentang golongan pembangkang dan musuhnya selama setahun menjadi presiden. Angkatan tentera dan Daulah al-Amiqah (Daulah Dalam) mengambil peluang semasa kekacauan ini untuk menggulingkan presiden kelima Mesir itu.
Pada 2018, Abdul Fattah as-Sisi (Presiden Mesir ke-6 sejak 8 Jun 2014) menang 97 peratus daripada jumlah undi.
Tidak berganjak
Di dalam penjara, Mursi telah ditempatkan di dalam bilik pengasingan terpencil dan tidak diberi menerima rawatan bagi penyakitnya yang terus menjadi teruk sementara ziarah oleh keluarga juga disekat.
Satu siri tuduhan dilontarkan kepadanya tetapi hak nasihat peguam dinafikan. Pada 17 Jun 2019, Mursi disahkan meninggal dunia setelah rebah di depan para hakim di Mahkamah Mesir.
Di depan hakim manusia dan mahkamah dunia, beliau tetap tidak berganjak daripada pendiriannya walaupun terpaksa menghadapi kesusahan dalam penjara.
Rupa-rupanya di mahkamah itulah ALLAH SWT al-Hakim dan al-Muqtadir (Pentakdir) mengakhirkan hayatnya. Cukup sudah peranan seorang pejuang mulia di dunia yang fana ini.
Kita boleh menghimbau kembali akan peristiwa khalifah Islam ketiga. Di hujung pemerintahannya Saiyidina ‘Uthman ‘Affan tidak berganjak walaupun dipaksa berundur daripada jawatan oleh para penentangnya.
Bila kaum pengkhianat menyerbu rumahnya, khalifah yang kita sayangi itu dibunuh di depan al-Quran yang sedang dibacanya.
Setengah abad sebelum kematian Mursi, Imam Hasan al-Banna, pengasas serta Mursyidul-‘Am pertama Ikhwan Muslimin ditembak selepas waktu solat Isyak pada Jumaat 11 Februari 1949. Peristiwa itu berlaku di jalan raya depan markas Jama‘iyyah al-Shuban al-Muslimin, Kaherah.
Imam al-Banna ketika itu ditemani adik iparnya, Abdul Karim Mansur seorang peguam yang juga luka terkena tembakan.
Oleh kerana pihak berkuasa tidak membenarkan rawatan, maka darahnya dibiarkan mengalir di Unit Kecemasan Hospital Kasr el-Aini (kebetulan Hospital Universiti Kaherah tempat saya belajar), hinggalah rohnya dijemput ALLAH pada Sabtu 12 Februari 1949. Ini berlaku semasa pemerintahan Raja Farouk yang berakhir tiga tahun selepas peristiwa itu.
Diberitakan hanya beberapa orang ahli keluarga sahaja dibenarkan oleh rejim untuk menghadiri jenazah Mursi di Kaherah.
Mayat beliau dikebumikan sekitar jam 5 pagi, Selasa 18 Jun 2019. Jenazahnya tidak dibenarkan dibawa pulang ke tempat lahirnya di wilayah Sharqiya kerana rejim pemerintah Presiden as-Sisi takut tercetusnya tunjuk perasaan yang sukar dikawal.
Walaupun Mesir serta Tebing Barat (Palestin) dan entah berapa banyak lagi negara Arab tidak membenarkan solat jenazah ghaib berjemaah untuk Allahyarham namun ia tetap didirikan secara besar-besaran di banyak negara dari Turki ke Malaysia dan dari Amerika Utara ke Australia.
As-Sisi berjanji untuk menghapuskan Ikhwan sepenuhnya kali ini dan memastikan Ikhwan diharamkan di Mesir. Ia tidak mahu kecundang seperti ‘abang-abang’ presiden tenteranya – Nasser, Sadat, Mubarak – yang gagal melaksanakan pengharaman serta pemusnahan Ikhwan secara total. As-Sisi mahu mencabut pohon Ikhwan daripada akar umbinya – Ikhwan Muslimin yang memperjuangkan hak Palestin serta menentang Zionisme.
Benar, Ikhwan tidak boleh bergerak di Mesir seperti dulu. Kesemua hartanya disita. Para pemimpin dan pengikut penting sudah dipenjara sejak 2013. Tapi bagaimanakah caranya untuk memadam api kesedaran yang membara dalam dada?
Dengan tidak mempedulikan hak Mursi, pemerintah Mesir melanggar etika perubatan dan mengabaikan amanah yang dibebankan ke atas pundaknya.
Kini para pejuang hak kemanusiaan serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menuntut agar kematian Mursi diselidiki.
Kita berdoa semoga roh Presiden Muhammad Mursi diberi keampunan dan dicucuri rahmat oleh ALLAH SWT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!