Mayat tujuh pendaki hilang di Nanda Devi ditemui
NEW DELHI - Mayat tujuh pendaki yang maut di gunung kedua tertinggi di India ditemukan semalam ekoran operasi mencari berterusan di sekitar kawasan banjaran Himalaya.
Kumpulan lapan pendaki yang hilang hampir sebulan lalu termasuk empat warga Britain, dua rakyat Amerika Syarikat (AS) dan masing-masing seorang warga India dan Australia.
Mayat tujuh pendaki tersebut ditemukan oleh pasukan separa tentera Polis Sempadan Indo - Tibet (ITBP) berhampiran sebuah puncak tidak bernama di Nanda Devi Timur.
Jurucakap ITBP, Vivek Kumar Pandey berkata, operasi mencari mayat terakhir akan disambung hari ini.
Menurut Pandey, kesemua mayat yang belum dipastikan identiti mereka itu telah dibawa ke tapak berhampiran, selain itu beberapa peralatan mendaki turut ditemui.
Lapan pendaki terbabit merupakan sebahagian daripada sekumpulan 12 pendaki namun empat daripada mereka diselamatkan selepas terpisah.
Kumpulan utama yang diketuai pendaki berpengalaman warga Britain, Martin Moran, hanya mendapat kebenaran mendaki puncak di bahagian timur Nanda Devi.
Namun, muat naik Moran di Facebook pada 22 Mei lalu menyatakan mereka mencuba untuk mendaki sebuah puncak dengan ketinggian kira-kira 6,500 meter yang tidak pernah didaki.
Komunikasi terakhir para pendaki tersebut adalah pada 26 Mei, sehari sebelum turun salji tebal dan runtuhan berlaku di kawasan gunung berkenaan.
Pihak berkuasa India melancarkan operasi mencari besar-besaran namun ia terjejas akibat cuaca buruk dan keadaan gunung yang sukar. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!