Inspektor mengaku tidak bersalah minta, peroleh rasuah

Tertuduh mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima dan memperoleh rasuah dua tahun lalu.
Tertuduh mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima dan memperoleh rasuah dua tahun lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pegawai polis berpangkat inspektor mengaku tidak bersalah di mahkamah sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan meminta dan memperoleh rasuah, dua tahun lalu.

Lim Yen Jee, 33, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin selepas pertuduhan-pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta untuk dirinya suapan wang tunai RM3,000 daripada seorang individu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan bagi menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Batu Pahat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kampung Bindu, Mukim 6, Tongkang Pechah, Batu Pahat sekitar jam 12.25 pagi pada 4 Oktober 2017.

Untuk pertuduhan kedua, Yen Jee didakwa memperoleh daripada individu sama suatu suapan wanh tunai RM2,500 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan bagi menjalankan perniagaan pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Batu Pahat.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah kafe hotel sekitar jan 6.15 petang pada 5 Oktober 2017.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mana kedua-duanya boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta seorang penjamin dan 23 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Nor Syarina Raizan manakala tertuduh diwakili peguam Chuah Shyue Chien.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!