Armada Bersatu Perak buat laporan terhadap UMNO
IPOH - Armada Bersatu Perak membuat satu laporan terhadap UMNO di pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) hari ini agar parti berkenaan dikenakan tindakan membabitkan penerimaan wang haram.
Ketua Armada Bersatu Perak, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, laporan berkenaan dibuat berikutan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di mana sejumlah RM212 juta dana telah dipindahkan daripada syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada UMNO.
"Armada Bersatu Perak dengan sebulat suara menggesa pihak ROS untuk mengenakan tindakan tegas terjadap parti UMNO.
"Ini adalah perbuatan yang tidak boleh dimaafkan kerana wang 1MDB sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi negara dan bukannya disalurkan demi kepentingan parti dan kegunaan UMNO," katanya kepada pemberita selepas hadir di pejabat ROS, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.
Mohd Hafez Mubin mendakwa, tindakan memindahkan dana dengan jumlah yang begitu besar jelas menunjukkan terdapat salah guna kuasa dan kesalahan penggunaan wang rakyat oleh UMNO.
"Andai dibiarkan tanpa tindakan, kerisauan kami adalah amalan terkutuk ini akan menjadi ikutan pada masa hadapan dan perkara yang sama akan berulang.
"Maka adalah penting untuk tindakan dikenakan kepada UMNO sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua bahawa penerimaan wang seperti ini adalah haram dan salah di sisi undang-undang," katanya.
Lebih 15 ketua dan ahli Armada Bersatu Bahagian Tambun, Parit, Kuala Kangsar, Gopeng, Ipoh Barat dan Ipoh Timur hadir di pejabat ROS bagi menyerahkan laporan berkenaan pada jam 10 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!