Dua anggota APMM disyaki terima suapan direman

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Dua anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah, direman selama tujuh hari bermula hari ini, bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima suapan bulanan daripada nelayan di Kuala Kedah sejak tiga tahun lepas.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek masing-masing berusia 44 tahun berpangkat Bintara Muda Maritim itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar, Noor Lyana Ab Rahim.

Difahamkan kedua-dua suspek didakwa meminta dan menerima suapan wang tunai secara bulanan bernilai antara RM200 sehingga RM2,000 daripada nelayan dan pemilik bot sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan atas kesalahan menceroboh kawasan penangkapan ikan.

Mereka ditahan pada 5.30 petang dan 6 petang semalam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Alor Setar di sini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap mengesahkan perkara itu tetapi enggan mengulas lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!