Kertas putih oleh Petronas tingkatkan usaha ke arah capai perjanjian Paris

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. Foto: Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media selepas merasmikan Persidangan Minyak dan Gas Asia Ke-20 (AOGC 2019) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) menerajui kajian menyeluruh industri dengan pelbagai agensi dalam usaha mewujudkan Kertas Putih Minyak, Gas, Tenaga dan Alam Sekitar bagi Landskap Tenaga Masa Depan Malaysia.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kajian tersebut menyokong aspirasi Malaysia untuk menjadi negara berkarbon rendah dengan pelan induk dasar tenaga yang akan mempergiat usaha ke arah mencapai aku janji negara bagi Perjanjian Paris.

“Petronas dan pelbagai agensi itu seharusnya diberikan pujian atas tanggungjawab menjalankan kajian ini. Petronas, sebagai antara pembekal gas asli cecair (LNG) utama di dunia, bersedia untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat di samping menyokong gas sebagai sumber penting tenaga bersih,” katanya semasa menyampaikan ucap tama di Persidangan Minyak dan Gas Asia (AOGC) 2019 di sini, hari ini.

Beliau berkata gas asli banyak terdapat di banyak lokasi, selain bersifat mesra alam dan kompetitif dari segi ekonomi.

“Kompleks Bersepadu Pengerang di Johor, yang merupakan pelaburan hiliran minyak dan gas terbesar di Malaysia, akan memperkukuh kedudukan Petronas sebagai penggiat utama dalam pasaran kimia Asia apabila ia mula beroperasi,” katanya.

Dr Mahathir berkata Petronas juga melaksanakan langkah penting dengan meneroka tenaga boleh diperbaharu.

“Usaha teroka Petronas ke dalam sektor tenaga baharu ini baru sahaja bermula. Saya turut gembira mengetahui Petronas melaksanakan beberapa inisiatif tenaga bersih di Malaysia.

“Antaranya kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara untuk bersama-sama membangunkan projek Solar Berskala Besar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir yakin Malaysia akan tumpuan dalam memacu kerjasama yang melangkaui perkongsian minyak dan gas tradisional untuk melibatkan sektor penyelesaian tenaga inovatif.

AOGC 2019 selama dua hari bertema ‘Forging A New Energy Future’ (Membentuk Masa Depan Tenaga Baharu) akan berakhir esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!