Disangka hilang, Syafiqah rupanya tertidur di rumah rakan

Kehilangan kanak-kanak perempuan ini tular dalam media sosial selepas dilaporkan tidak pulang ketika keluar beraya di rumah rakannya.
Kehilangan kanak-kanak perempuan ini tular dalam media sosial selepas dilaporkan tidak pulang ketika keluar beraya di rumah rakannya.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Misteri kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun terjawab apabila dia dikatakan tertidur di rumah rakannya.

Syafiqah Farhan’ie Mohd Norhisyam, 9, dikatakan keluar beraya bersama rakannya pada jam 1 tengah hari semalam bagaimanapun sehingga jam 9 malam masih belum pulang.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Astana Alam 3, Erizani Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada jam 1 pagi.

“Pagi tadi, saya tanya keluarga mangsa masih belum jumpa dan terus tular kehilangan kanak-kanak itu dalam group WhatsApp penduduk dan sekolah.

“Kita bimbang insiden tidak diingini terjadi, sebab itu ambil pendekatan tularkan perkara ini supaya ada pihak yang boleh membantu.

“Alhamdulillah, lebih kurang jam 10 pagi tadi, kanak-kanak itu berjaya ditemui selamat di rumah rakannya yang satu kawasan kejiranan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Keselamatan Permuafakatan Persatuan Penduduk Puncak Alam, Roslan Ariffin memaklumkan tindakan pantas individu prihatin membantu mengesan kanak-kanak terbabit.

“Kerjasama penduduk setempat membantu mengesan kanak-kanak ini yang rupa-rupanya tertidur di rumah jiran, mungkin letih beraya.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah, dia ditemui dalam keadaan selamat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi mengenai insiden kehilangan kanak-kanak itu.

Terdahulu, kehilangan anak bongsu dari tiga beradik itu disedari kakak mangsa yang memaklumkan kejadian itu kepada ibu mereka pada jam 9 malam semalam.

Menurut ibunya, Farihah Mat Salleh, 36, anaknya yang tinggal bersama ibu saudaranya di Puncak Alam ada memaklumkan mahu beraya bersama dua rakan.

“Kakaknya ada maklumkan Syafiqah keluar untuk beraya bersama dua rakannya kira-kira jam 1 tengah hari tapi sampai jam 9 malam tadi, dia masih belum balik.

"Kakaknya menghubungi saya untuk memaklumkan mengenai perkara itu,” katanya yang dipetik dalam laporan Harian Metro.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!