Radhi OAG tidak ingat lafaz cerai
PETALING JAYA - "Sumpah saya tak ingat apa yang dilafazkan," kata penyanyi, Radhi OAG ketika diminta oleh Mahkamah Rendah Syariah Petaling untuk mengesahkan lafaz cerainya terhadap isteri, Nur Shahira Ayu Zahir.
Justeru, Hakim Syarie, Husaini Roslin memerintahkan Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Razali, 41, membuat sumpah nafi pada 16 Julai depan.
"Mahkamah tidak mahu kamu membuat sumpah nafi pada hari ini kerana azabnya (kesan) di dunia dan akhirat sangatlah besar.
"Kamu balik fikir baik-baik dahulu," katanya.
Sumpah nafi ialah sumpah yang perlu dibuat seseorang bagi menafikan apa yang dikatakannya sebelum mahkamah membuat keputusan.
Terdahulu, Nur Shahira, 25, memaklumkan kepada mahkamah bahawa suaminya telah melafazkan talak di rumah mereka jam 4.30 pagi pada 25 Mac lalu.
Ia berikutan pertengkaran mulut berlaku antara pasangan tersebut.
"Dia (Radhi) cakap: Aku ceraikan kau dengan talak satu," katanya.
Pada prosiding itu, Nur Shahira berkata, beliau tinggal berasingan bersama penyanyi itu sejak talak itu dilafazkan Radhi.
"Pada jam 7 pagi, saya bawa anak-anak keluar dari rumah menuju ke rumah keluarga yang terletak di Kota Damansara dan tinggal di situ sehingga kini," katanya.
Shahira selaku plaintif memfailkan tuntutan cerai terhadap Radhi selaku defendan pada 3 Jun lalu mengikut Seksyen 57 Enakmen Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.
Radhi dan Nur Shahira bernikah pada 14 April 2014 dan dikurniakan dua anak, Nur Aisyah, 4, dan Muhammad, 3.
Perkahwinan itu merupakan kali ke dua bagi Radhi yang sebelum ini telah mendirikan rumah tangga dengan Shazlin Sharif pada 1 Januari 2005 sebelum berpisah pada 8 Jun 2010.
Hasil perkahwinan pertama, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Rifdi Muslim yang kini berusia 14 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!