DBP berhasrat kerjasama dengan penerbit china hasil 'Buku Biru'
KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan mengadakan perbincangan bersama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk bekerjasama dengan penerbit dari China bagi menerbitkan ‘Buku Biru’ mengenai sejarah dan pembangunan Malaysia.
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom berkata pada masa ini, penerbitan buku itu sedang diusahakan penulis dan anggota akademik dari China.
“Penerbitan Buku Biru ini satu usaha baik yang mana menceritakan secara khusus mengenai sejarah dan perkembangan negara kita.
“Saya harap kita dapat bekerjasama dengan China untuk menerbitkan buku ini dan tidak hanya membiarkan pakar mereka (China) menulis mengenai Malaysia, tetapi mungkin kita juga dapat menulis mengenai kedua-dua negara termasuk dari segi ekonomi, budaya, bahasa, sejarah, sains dan teknologi,” katanya.
Beliau ditemui Bernama pada majlis pelancaran tiga buku penerbitan projek Inisiatif Jalur dan Laluan China; majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penerbitan antara Persatuan Kebudayaan Han Malaysia dan Social Sciences Academic Press (SSAP) dari China, dan majlis penyerahan manuskrip ‘Tafsiran Ekonomi Baharu Republik Rakyat China’.
Mohamed Hatta berkata, bagi memastikan hasrat menerbitkan ‘Buku Biru’ itu tercapai, DBP akan menghimpunkan pakar dan anggota akademik dari negara ini.
“Mungkin untuk terbitan pertama buku itu kita tidak sempat, tetapi InsyaAllah untuk terbitan seterusnya kita dapat memberi sumbangan. Tahun hadapan kita akan kumpulkan seramai mungkin pakar untuk memberi sumbangan dan idea,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Hatta berkata manuskrip ‘Tafsiran Ekonomi Baharu Republik Rakyat China’ yang diterima hari ini dari Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia Datuk Goh Hin San bakal diterbitkan selewatnya hujung tahun hadapan.
“Penerbitan DBP kini semakin mudah kerana kita menggunakan sistem digital dan sistem ‘print on demand’ yang mana kita sesuaikan jumlah percetakan dengan permintaan supaya kita tidak mengalami kerugian,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!