Kedah bakal muncul hab pengeluaran jagung bijirin
YAN - Kedah bakal muncul antara hab pengeluaran jagung bijirin yang dikendalikan oleh koperasi dan menjadi pusat sumber pengeluaran makanan untuk industri ternakan bagi pasaran seluruh negara.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kira-kira 83 hektar tanah untuk tanaman jagung bijirin sedang diusahakan bersama sebuah syarikat perladangan, Famox Plantation (M) Sdn. Bhd di Mukim Hosba, Kubang Pasu sejak Mei lalu.
Menurutnya, hasil pertama projek dengan modal permulaan RM700,000 itu bakal dituai bermula sekitar September ini.
"Usaha ini bertujuan untuk membantu mengurangkan kebergantungan industri ternakan negara kepada hampir 95 import bijirin dari luar negara.
"Industri tanaman jagung bijirin ini juga akan menampung permintaan penternak-penternak ternakan tempatan dan ia lebih murah serta diyakini halal," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Angkasa Negeri Kedah di Dewan Datuk Badaruddin, Sungai Limau Dalam, di sini hari ini.
Abdul Fattah berkata, tanaman jagung bijirin tersebut dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta itu juga akan dijadikan model dan diperluaskan ke daerah-daerah lain selepas ini.
"Bagi projek seterusnya di kawasan yang sama, kami akan libatkan sebanyak 12 koperasi di Kedah dan bahagian-bahagiannya juga akan ditentukan.
"Usaha ini secara tidak langsung berjaya meningkatkan hasil ahli koperasi termasuk membantu meningkatkan hasil pertanian negara," katanya.
Pada Mei lalu, Angkasa bekerjasama dengan sebuah syarikat perladangan, Famox Plantation (M) Sdn. Bhd untuk menjayakan projek tersebut.
Tanaman itu dijangka mampu menghasilkan kira-kira 520 tan metrik pada fasa pertama dengan pulangan sebanyak RM1.2 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!