Tiada keperluan waktu pertanyaan PM di Parlimen ketika ini
PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong hari ini berkata tiada keperluan untuk mengadakan sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen ketika ini.
Beliau berkata sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) yang diadakan pada setiap Selasa dan Khamis sudah memadai buat masa ini.
Bercakap kepada pemberita selepas Dialog Peringkat Tertinggi Kebangsaan mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia di sini hari ini, Liew berkata berkata PMQT dibincangkan berikutan cadangan yang dibuat oleh beberapa anggota Parlimen berhubung perkara itu.
“Hakikatnya kita mempunyai MQT dan sejak tahun yang lepas, kita telah melihat perdana menteri datang untuk menjawab soalan-soalan di Parlimen semasa MQT dan ketika sesi soal jawab biasa.
“Jadi saya rasa, buat masa ini kita tidak memerlukan PMQT, tetapi pada masa akan datang, jika ada keperluan, kita mungkin boleh pertimbangkan. Buat masa ini, saya rasa MQT sudah memadai,” katanya.
Ditanya mengenai sesi Parlimen pada Julai ini, Liew berkata ia akan menjadi sesi yang menarik yang mana beberapa anggota Parlimen menyifatkannya sebagai luar biasa kerana ia akan menyaksikan beberapa undang-undang diperkenalkan.
Ditanya mengenai rang undang-undang yang akan dibentangkan, Liew berkata dua rang undang-undang yang ada dalam senarai ialah pemansuhan hukuman mati mandatori dan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Isu ‘besar’ lain termasuk pindaan perlembagaan mengenai had umur mengundi bagi membolehkan golongan muda mengundi pada umur 18 tahun, katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!