Pemuda PH desak RoS ambil tindakan tegas ke atas UMNO

Pemuda Harapan menunjukkan salinan surat mendesak tindakan tegas dikenakan ke atas UMNO yang dihantar kepada RoS, hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Pemuda Harapan menunjukkan salinan surat mendesak tindakan tegas dikenakan ke atas UMNO yang dihantar kepada RoS, hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Pemuda Pakatan Harapan (PH) hari ini menghantar surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) menggesa tindakan keras dikenakan ke atas UMNO yang didakwa menerima dana berjumlah RM212 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, ini kerana perbuatan rasuah itu merupakan jenayah yang tidak boleh dimaafkan.

"Pemuda PH hari ini sebulat suara menggesa pihak RoS untuk kenakan tindakan tegas kepada UMNO.

"Dana berjumlah RM212 juta yang dipindahkan secara haram daripada 1MDB kepada UMNO itu jelas menunjukkan salah guna kuasa. Wang itu sepatutnya digunakan untuk pembangunan ekonomi negara bukan untuk kegunaan parti dan sebagainya," katanya pada sidang media sebaik selesai menyerahkan surat kepada RoS, di sini hari ini.

Ulya Aqamah berkata, desakan itu juga dibuat bagi memastikan amalan terkutuk itu tidak berulang atau menjadi ikutan pada masa akan datang.

"Amat penting untuk tindakan keras dikenakan kepada UMNO sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua bahawa penerimaan wang seperti ini adalah haram dan salah di sisi undang-undang.

"Sebagai menjunjung tinggi prinsip ketelusan dan integriti dalam amalan politik, Pemuda PH sekali lagi memohon RoS ambil tindakan tegas ke atas UMNO berikutan amalan korup dan tidak bermoral ini," katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah menfailkan 41 kes permohonan melucut hak membabitkan jumlah dana bernilai RM270 juta yang diterima daripada syarikat pelaburan 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beberapa hari lalu.

Artikel Berkaitan:

Ketua Pesuruhjayanya, Latheefa Koya dilaporkan berkata, pihaknya mengenal pasti 41 individu dan entiti tempatan yang terbabit di dalam transaksi berkenaan.

Katanya, antara transaksi paling tinggi membabitkan UMNO iaitu sebanyak RM212 juta dan ia membabitkan satu akaun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!