Tujuh Sasterawan Negara terima elaun penghargaan bulanan RM5,000

Menteri Kewangan Lim Guan Eng (dua, kanan) beramah mesra bersama para Sasterawan Negara pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan hari ini. - FOTO BERNAMA
Menteri Kewangan Lim Guan Eng (dua, kanan) beramah mesra bersama para Sasterawan Negara pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Sara Hidup Kepada Sasterawan Negara di Kementerian Kewangan hari ini. - FOTO BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Tujuh Sasterawan Negara menerima elaun penghargaan bulanan RM5,000 sebagai menghargai sumbangan mereka menaikkan martabat Bahasa Melayu dalam perkembangan kesusasteraan tanah air.

Mereka ialah Datuk Seri Dr A. Samad Said; Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh; Datuk Noordin Hassan; Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan; Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah; Datuk Dr Baharuddin Zainal; dan Datuk Dr Zurinah Hassan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan, untuk RM5,000 sebulan seorang, kepada Kementerian Pendidikan untuk pembiayaan elaun sara hidup itu yang bermula bulan ini.

“Elaun ini diharap dapat membantu menjamin kebajikan, memastikan kesejahteraan dan memberi keselesaan kepada semua Sasterawan Negara agar terus menyumbangkan idea, pemikiran, keilmuan dan sumbangan karya bermutu tinggi untuk tatapan masyarakat,” katanya pada Majlis Penyerahan Cek Elaun Penghargaan Bulanan itu kepada sasterawan berkenaan di sini.

Turut hadir pada majlis di Kementerian Kewangan itu ialah Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah; dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Sementara itu, Anwar berkata pemberian elaun penghargaan ini merupakan satu inisiatif yang membanggakan.

“Ini sekaligus memberi mesej yang jelas kerajaan Pakatan Harapan, sementara menumpu perhatian pada pertumbuhan ekonomi, tidak meninggalkan malah tetap mempertahankan keutuhan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi dan juga mengangkat martabat sastera negara kita supaya dapat dinikmati oleh khalayak ramai,” katanya.

Salah seorang penerima, A. Samad berkata mereka tidak menjangka akan diberi penghargaan kewangan yang begitu munasabah.

Artikel Berkaitan:

“Yang terpenting, tentunya kementerian sendiri mengharapkan wang ini tidak mematikan kita sebagai sasterawan malah menumbuhkan (sumbangan kepada negara),” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!