681 kumpulan kongsi gelap seluruh negara dalam radar PDRM

Huzir pada sidang media Op Dadu Khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO: ZAHID IZZANI
Huzir pada sidang media Op Dadu Khas di Bukit Aman, Kuala Lumpur. FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti 681 kumpulan kongsi gelap bertapak di negara ini dengan jumlah ahli 9,042 orang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, bermula 1 Januari lalu sehingga 22 Jun lalu, polis sudah menahan 627 ahli kumpulan kongsi gelap itu menerusi Op Cantas Khas.

Menurutnya, daripada jumlah itu 19 ahli kumpulan berkenaan ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1957 (POCA) dan mejoriti tangkapan tertumpu di Selangor.

“Sejak 2012, 536 individu terbabit kongsi gelap ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

"Dalam tempoh sama juga, 456 individu dituduh mengikut SOSMA kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang,” katanya pada sidang media khas JSJ di Bukit Aman, hari ini.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa.

Huzir berkata, PDRM akan terus memberi penekanan tegas agar kegiatan kongsi gelap dapat dihapuskan termasuk menggunakan SOSMA, POCA, Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960 dan lain-lain akta.

"Status SOSMA kini di peringkat akhir kajian oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM dan sehingga kini ia masih boleh digunakan bagi membanteras jenayah terancang membabitkan kesalahan serius mengikut Bab VIB Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

“Kumpulan kongsi gelap ini dikenal pasti sebagai kumpulan jenayah terancang yang melakukan pelbagai kesalahan jenayah termasuklah sindiket perjudian dan pelacuran.

“Polis tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan mengikut akta berkenaan kepada kumpulan yang kita kenal pasti,” katanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!