Selangor pertimbang kenaikan elaun Pengerusi MPKK

Amirudin (duduk, tengah) bergambar bersama Exco Selangor dan Ketua-ketua Kampung Tradisi Selangor yang menerima watikah pelantikan hari ini.
Amirudin (duduk, tengah) bergambar bersama Exco Selangor dan Ketua-ketua Kampung Tradisi Selangor yang menerima watikah pelantikan hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mempertimbangkan cadangan menaikkan elaun Pengerusi Majlis Perwakilan Komuniti Kampung (MPKK) tahun depan.

Bagaimanapun, Menteri Besarnya, Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibincangkan terlebih dulu di peringkat mesyuarat Exco sebelum dimuktamadkan Jawatankuasa Belanjawan Negeri Selangor 2019.

"Kita tak dapat nak laksanakan perkara itu tahun ini kerana ia perlu dibajetkan dalam bajet khas.

"Tapi untuk tahun depan, kita sedia menilai semula angka pendapatan elaun ketua-ketua kampung tradisi atau menambah beberapa skim perlindungan serta insurans," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan kepada Ketua Kampung Tradisi di Dewan Jubli Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail; Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian dan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim.

Menurutnya, Setiausaha MPKK yang bertanggungjawab membantu melancarkan pengurusan bagi melaksanakan program kemasyarakatan, kebajikan, keceriaan dan keperluan lain demi manfaat kampung serta penduduk setempat kini diberi elaun sebanyak RM500 sebulan.

"Sebelum ini, setiausaha MPKK hanya menerima elaun sebanyak RM250 dan Kerajaan Persekutuan kemudiannya memberikan tambahan peruntukan sebanyak RM250," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada majlis sama, seramai 292 orang ketua kampung tradisi Selangor menerima watikah pelantikan dan kesemua penerima ialah kumpulan pertama ketua-ketua kampung tradisi yang dilantik bagi sesi 2018/2020 dan mula berkhidmat pada 1 Oktober 2018 sehingga 31 Disember 2020.

Perkhidmatan ketua-ketua kampung tradisi Selangor adalah tertakluk kepada Garis Panduan Ketua Kampung Tradisi dan MPKK Negeri Selangor serta pekeliling dan keputusan kerajaan negeri dari semasa ke semasa.

Penyampaian watikah pelantikan bagi kumpulan kedua seramai 79 orang ketua kampung tradisi akan dilaksanakan selepas urusan dokumentasi diselesaikan dan lulus tempoh percubaan selama enam bulan.

Setiap ketua kampung tradisi yang juga Pengerusi MPKK ketika ini menerima elaun bulanan sebanyak RM1,200 dan tertinggi berbanding negeri-negeri lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!