Pulau Pinang peruntuk RM3.3 juta untuk pembangunan


DR AFIF
DR AFIF
A
A
A

KEPALA BATAS – Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM3.3 juta bagi pembangunan desa dan luar bandar agar seiring dengan kepesatan pembangunan infrastruktur dan prasarana pada masa kini.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr Afif Bahardin berkata perkara tersebut merupakan fokus utama kerajaan negeri dalam membantu masyarakat desa meningkatkan lagi taraf hidup di dalam industri desa yang sedia ada, lebih-lebih lagi dalam industri asas tani.

"Sebenarnya masyarakat desa ini ternyata sangat arif dan ada kemahiran yang tinggi dalam soal pertanian dan juga penghasilan produk-produk berasaskan industri asas tani.

“Kita nak mereka lebih terlibat dalam program-program rancangan persekutuan mahupun kerajaan negeri contohnya dengan memasukkan elemen automasi atau jentera supaya produktiviti dalam industri asas tani dapat dipertingkatkan seterusnya memperkasakan komuniti dalam usaha membawa negara kita kehadapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutupan Jelajah Desa Daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini, hari ini.

Afif yang juga Adun kawasan Seberang Jaya berkata, jumlah peruntukan bagi pembangunan kawasan luar bandar di daerah SPU adalah sebanyak RM491,383 yang meliputi tiga projek khas termasuklah pembinaan sembilan buah rumah siap dibina (RM365,040), baik pulih lapan buah rumah (RM60,000), serta peruntukan bagi 34 peralatan pembinaan (RM66,343) termasuk baik pulih dan bina jalan di desa.

Katanya, SPU antara penerima (peruntukan) yang banyak dari segi pembangunan luar bandar kerana keadaan geografi dan masyarakatnya yang memiliki kemudahan infra yang lengkap, kemudahan air yang cukup serta sistem telekomunikasi yang baik.

"Jadi fokus kita nak masyarakat desa ini juga dapat manfaat daripada perkembangan pesat Industri 4.0 ini seterusnya dapat membentuk semula ekonomi negara dengan lebih produktif.

"Saya yakin jika masyarakat memanfaatkan sepenuhnya pembangunan infrastruktur dan prasarana yang telah disediakan oleh kerajaan negeri mahupun persekutuan, maka tiada lagi keperluan masyarakat desa untuk berhijrah ke bandar bagi mencari rezeki," katanya.- Bernama.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!