Kesatuan pekerja bomba hargai usaha media

Zainal Abidin Nong Chik
Zainal Abidin Nong Chik
A
A
A

BENTONG - Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung menghargai usaha pihak media cetak dan elektronik yang membuat liputan meluas terhadap insiden yang menimpa Pegawai Bomba (PB) Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang meninggal dunia pada Isnin lalu.

Presidennya, Zainal Abidin Nong Chik berkata, liputan yang diberikan banyak membuka mata masyarakat mengenai cabaran dan risiko yang dihadapi anggota bomba dan penyelamat di negara ini.

“Media dilihat menyumbangkan banyak jasa membawa seluruh rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat berduka dan menghargai pengorbanan Allahyarham Muhammad Adib melalui berita dikongsikan. Terima kasih media cetak dan elektronik.

"Rasa simpati kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Muhammad Adib menyebabkan kami seluruh ahli kesatuan serta warga kerja bomba merakamkan terima kasih di atas seluruh berita terkini daripada media tanpa rasa penat jemu untuk kami, “ katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurutnya, beliau dan kesatuan itu turut mendoakan kesejahteraan dan kelapangan serta kesihatan yang baik selain dimurahkan rezeki kepada pengamal media.

Malaysia berduka selepas Allahyarham Muhammad Adib menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.41 malam di Institut Jantung Negara (IJN) Isnin lalu selepas mengalami kecederaan parah dalam kejadian rusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!