Perbankan Islam tawar pinjaman perumahan
KUALA LUMPUR - Industri perbankan Islam bersedia untuk menawarkan kemudahan pembiayaan kewangan kepada pembeli rumah dan perniagaan yang layak berdasarkan perkembangan positif tahap kemampuan kewangan isi rumah di negara ini.
Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM), Datuk Adissadikin Ali berkata, pihaknya akan memastikan ahli-ahli AIBIM untuk terus menyediakan akses kepada pelanggan dan perniagaan untuk mendapatkan produk serta perkhidmatan kewangan perbankan Islam.
“Pada tahun 2018, perbankan Islam telah meluluskan sebanyak RM37.7 bilion yang mewakili 36.7 peratus daripada keseluruhan kelulusan pembiayaan kewangan untuk pembelian perumahan. “RM12.4 bilion pula untuk pembiayaan kewangan peribadi yang meliputi 58 peratus daripada keseluruhan pembiayaan kewangan peribadi yang diluluskan oleh industri bank,” katanya.
Pada 19 Jun lalu, Kementerian Kewangan menegur pihak bank supaya memberikan akses kepada pembiayaan secara lebih meluas kepada pembeli rumah pertama, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), untuk memacu perkembangan ekonomi.
Ia berikutan tahap kesihatan kewangan isi rumah yang semakin beransur pulih, dengan kadar keberhutangan isi rumah berbanding keluaran dalam negeri kasar (KDNK) jatuh kepada 83 peratus pada 2018 daripada 83.8 peratus pada 2017.
Hasil perkembangan tersebut, pengguna kini mempunyai ruang yang lebih besar untuk meminjam bagi tujuan mengumpul kekayaan, sama ada untuk skim simpanan, atau untuk pelaburan bukan bertujuan spekulasi, termasuk pemilikan aset jangka masa panjang.
Mengulas lanjut tentang perkara itu, Adissadikin berkata, bank-bank Islamik telah menyediakan pembiayaan sebanyak RM1 bilion dengan kadar keuntungan sibsidi sebanyak 2 peratus seperti yang diumumkan oleh kerajaan dalam Bajet 2019.
“Perbankan Islamik telah berjaya mencapai keseluruhan sebanyak RM3 bilion pembiayaan kepada PKS di bawah skim ini yang telah memberikan manfaat kepada 1,447 PKS sejak 2012,” katanya. Jelas beliau, aspirasi pihak bank untuk memenuhi keperluan pelanggan membolehkan mereka terus mempertingkatkan strategi perniagaan dengan menawarkan pelbagai pakej pembiayaan untuk individu, perumahan dan perniagaan.
“Garis panduan pembiayaan kewangan yang bertanggungjawab telah dilaksanakan untuk melindungi kepentingan pelanggan bank bagi memastikan mereka dapat memenuhi tuntutan pembayaran,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelanggan perlu memastikan mereka membuat keputusan yang tepat supaya tidak dibebankan dengan tuntutan pembayaran semula dan tidak mengalami masalah kewangan pada masa depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!